GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

POLIS Thailand hari ini menahan seorang lelaki disyaki membunuh bekas isterinya dan mencederakan wanita lain di klinik kecantikan di sebuah pusat beli-belah di Bangkok.

Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan Leftenan Jeneral Pakkapong Pongpetra berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan di Kaeng Krachan di wilayah Phetchaburi pada 4.30 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Beliau berkata polis turut menemui sepucuk pistol dan peluru di dalam rumah.

“Suspek mengaku motif disebabkan masalah peribadi selepas bercerai baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Suspek didakwa dengan beberapa kesalahan termasuk membunuh, cubaan membunuh dan memiliki senjata api secara haram.

Dalam kejadian pada 3.15 petang (waktu tempatan), lelaki bersenjata itu menyerbu klinik kecantikan di Century The Movie Plaza berhampiran Victory Monument di daerah Ratchadewi dan melepaskan sekurang-kurangnya tujuh tembakan ke arah bekas isterinya yang berusia 28 tahun.

Suspek dan wanita itu berkahwin selama 10 tahun, mempunyai seorang anak dan bercerai 13 Februari lalu.

Media tempatan melaporkan lelaki bersenjata itu meninggalkan nota di biliknya memberitahu polis, dia memerlukan masa untuk membunuh teman lelaki bekas isterinya dan juga membunuh dirinya.

Polis membawa bersama ibu suspek untuk memujuknya supaya menyerah diri.

Insiden itu keganasan membabitkan senjata api yang ketiga berlaku di pusat beli-belah di Thailand tahun ini.

Pada 8 Februari lalu, seorang anggota tentera mengamuk dan melepaskan tembakan rambang, membunuh 29 orang termasuk polis dan pegawai tentera selain mencederakan 58 yang lain, di Terminal 21 Shopping Mall di Nakhon Ratchasima.

Dia ditembak mati oleh pasukan keselamatan selepas lebih 12 jam bersembunyi di pusat beli-belah itu.

Pada 9 Januari pula, seorang lelaki bertopeng melepaskan tembakan yang meragut tiga nyawa termasuk kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dalam kejadian rompakan kedai barang kemas di sebuah pusat beli-belah di wilayah Lop Buri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 11:05 PM