PUTERA Harry dan Meghan tidak lagu menggunakan gelaran Yang Mulia. FOTO AGENSI
PUTERA Harry dan Meghan tidak lagu menggunakan gelaran Yang Mulia. FOTO AGENSI
Agensi

PUTERA Harry dan isterinya Meghan Markle bersetuju melepaskan gelaran diraja dan berhenti daripada menerima dana awam, sebagai sebahagian penyelesaian dengan Ratu Elizabeth II bagi mereka memulakan kehidupan baharu di luar monarki British.

Ini bermakna Harry selaku cucu kepada Ratu Elizabeth II dan isterinya, pelakon Amerika Syarikat (AS), tidak akan lagi menggunakan gelaran ‘Yang Mulia’, nasib sama seperti ibunya, mendiang Puteri Diana selepas bercerai dengan Putera Charles pada 1996.

BBC melaporkan pengumuman rasmi dari Istana Buckhingham itu dibuat, semalam selepas beberapa siri perbincangan dan pertemuan, susulan pengunduran mengejut pasangan berkenaan daripada tugas rasmi diraja.

Ratu Elizabeth, 93, bertitah keputusan selepas rundingan berbulan lamanya dan satu persefahaman akhirnya dicapai bagi menyokong keputusan Harry serta keluarga.

“Harry, Meghan dan Archie akan sentiasa disayangi sebagai ahli keluarga kami.

“Beta menyedari cabaran yang mereka alami selepas melakukan kajian mendalam selama dua tahun dan menyokong kehendak mereka untuk kehidupan lebih bebas.

“Beta ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana melaksanakan tugas untuk negara ini, malah beta amat bangga bagaimana Meghan begitu cepat menjadi anggota keluarga.

“Harapan kami perjanjian ini membolehkan mereka membina kehidupan baharu yang bahagia dan damai,” titahnya.

Pasangan diraja itu juga perlu membayar 2.4 juta pound (RM12.56 juta) wang pembayar cukai untuk membaik pulih Frogmore Cottage, kediaman mereka dekat Istana Windsor.

Istana Buckhingham tidak mahu mengulas mengenai pengaturan keselamatan yang akan dibuat untuk pasangan diraja itu.

Laman web baru mereka, sussexroyal.com, juga sudah dikemaskini berikutan kenyataan Queen.

“Sejajar kenyataan Ratu Elizabeth II, maklumat mengenai peranan dan tugas Duke dan Duchess of Sussex akan dikemas kini di laman web ini,” katanya.

KENYATAAN rasmi dari Istana Buckingham.
KENYATAAN rasmi dari Istana Buckingham.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 11:18 AM