FAUSTA mati akibat sakit tua di sebuah pusat perlindungan. FOTO REUTERS
FAUSTA mati akibat sakit tua di sebuah pusat perlindungan. FOTO REUTERS
AFP

DAR ES SALAAM: Seekor badak sumbu hitam dipercayai tertua di dunia mati di Tanzania pada usia 57 tahun, menurut pihak berkuasa di Ngorongoro, tempat tinggal haiwan itu.

Badak sumbu betina diberi nama Fausta, mati akibat tua kelmarin di sebuah pusat perlindungan selepas tinggal sepanjang hidup dalam hutan, kata Pihak Berkuasa Kawasan Pemuliharaan Ngorongoro Conservation dalam satu kenyataan semalam.

“Rekod menunjukkan Fausta hidup lebih lama berbanding mana-mana badak sumbu dunia dan tinggal di Ngorongoro selama lebih 54 tahun sebelum ia dipindahkan ke pusat perlindungan pada 2016,” kata kenyataan itu.

Katanya, Fausta kali pertama ditempatkan di kawah Ngorongoro pada 1965 oleh saintis dari Universiti Dar Es Salaam pada usia antara tiga hingga empat tahun.

“Keadaan kesihatannya mula merosot pada 2016 apabila kami terpaksa meletakkan haiwan dalam kurungan selepas beberapa serangan hyena dan kecederaan selepas itu,” katanya.

Sana, seekor badak sumbu putih betina berusia 55 tahun dianggap badak sumbu putih tertua dunia apabila mati dalam kurungan di taman La Planete Sauvage Zoological di Perancis pada 2017.

Ngorongoro menganggarkan jangka hayat badak sumbu antara 37 dan 43 tahun dalam hutan sementara sehingga 50 tahun dalam kurungan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 11:55 PM