Reuters

ISTANBUL: Jumlah penduduk Syria melarikan diri menuju Turki dari Idlib yang sedang digempur tentera rejim Presiden Bashar al-Assad meningkat kepada 120,000 orang, hari ini.

Al-Assad dibantu Russia yang meningkatkan serangan sejak minggu lalu, berikrar menawan kembali wilayah itu.

Presiden Turki, Racep Tayyip Erdogan, berkata negaranya tidak mampu menangani jumlah pelarian yang ramai itu dan memberi amaran negara Eropah akan menerima kesannya jika perang di utara Syria tidak dihentikan.

Menurut Erdogan, kira-kira 80,000 pelarian dalam perjalanan ke Turki manakala Yayasan Bantuan Kemanusiaan (IHH) menyatakan jumlah pelarian sudah mencapai 120,000 orang.

Ramai pelarian itu melarikan diri dari bandar Maraat al-Numan menuju sempadan Turki.

Turkey sudah mempunyai 3.7 juta pelarian Syria, kumpulan pelarian terbesar dunia selepas lebih lapan tahun perang Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 8:58 PM