NORA Anne Quoririn. FOTO Ihsan PDRM
NORA Anne Quoririn. FOTO Ihsan PDRM
AFP

DUBLIN: Keluarga remaja perempuan Ireland yang ditemui mati selepas hilang di satu kawasan hutan di Malaysia percaya kehilangannya ada “unsur jenayah”.

Polis sebelum ini mengklasifikasikan kehilangan Nora Quoirin, 15, selama 10 pada Ogos lalu sebagai kes orang hilang.

Mayat Nora ditemui separuh bogel di kawasan hutan di Negeri Sembilan kira-kira 2.5 kilometer dari sebuah resort lokasi keluarga itu bercuti.

Meabh dan Sebastian Quoirin memberitahu stesen penyiaran RTE, mereka tidak boleh bayangkan, Nora mengalami masalah pembelajaran boleh merayau sejauh itu.

“Bagi kami sesuatu yang kompleks berlaku. Kami menegaskan sejak awal lagi bahawa kami percaya apa yang berlaku ada unsur jenayah,” katanya dalam wawancara yang disiarkan hari ini.

Keputusan bedah siasat mendapati Nora kemungkinan mati akibat kebuluran dan kecederaan dalam selepas lebih seminggu hilang di hutan.

Polis memberitahu, tiada petunjuk mangsa diculik atau diserang secara seksual.

Bagaimanapun, ibu bapa berkata, mereka mahu mencari kebenaran dan keadilan untuk anak mereka itu.

Katanya, sukar secara fizil dan mental untuk membayangkan Nora boleh berjalan sejauh itu.

“Kami bergelut, kerana sukar untuk mendapatkan sumber yang cepat untuk menyiasat dari sudut jenayah,” tambah pasangan itu.

Pasangan itu masih menunggu laporan penuh bedah siasat yang dijalankan di Malaysia dan keputusan bedah siasat kedua selepas mayatnya dibawa ke London.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 1:34 PM