ANGGOTA keluarga  David Navarro berpelukan meratapi kematian Datuk Bandar Clarin itu yang maut ditembak lelaki bersenjata di Cebu, hari ini. - AFP
ANGGOTA keluarga David Navarro berpelukan meratapi kematian Datuk Bandar Clarin itu yang maut ditembak lelaki bersenjata di Cebu, hari ini. - AFP
AFP

MANILA: Seorang datuk bandar dalam senarai Presiden Rodrigo Duterte sebagai ‘ahli politik narkotik’ terbunuh ketika dalam tahanan polis apabila kenderaan membawanya diserang hendap di Cebu, hari ini.

Lelaki bersenjata menahan van membawa David Navarro, datuk bandar Clarin, pekan kecil di selatan Filipina ke pejabat pendakwa raya di Cebu sebelum menembaknya.

Polis menahan Navarro di bandar raya Cebu ketika kunjungan perniagaan semalam, kerana memukul seorang tukang urut.

Seorang anggota polis juga cedera dalam serangan itu manakala penyerang berjaya melarikan diri.

Pada 14 Mac lalu, nama Navarro disenaraikan bersama 44 lagi pegawai kerajaan tempatan oleh Duterte yang menuduh mereka terbabit dalam pengedaran dadah.

Pada 2016, Duterte menyenaraikan lebih 150 hakim, datuk bandar dan pegawai kerajaan lain sebagai terbabit dengan sindiket dadah.

Dua datuk bandar dalam senarai itu kemudiannya ditembak mati oleh polis pada 2016 dan 2017 manakala seorang lagi datuk bandar mati ditembak penembak curi.

DAVID Navarro
DAVID Navarro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 10:42 PM