TRUDEAU meminta maaf kerana memakai solekan berwarna perang ketika menghadiri parti sebuah sekolah 18 tahun lalu. FOTO REUTERS
TRUDEAU meminta maaf kerana memakai solekan berwarna perang ketika menghadiri parti sebuah sekolah 18 tahun lalu. FOTO REUTERS
AFP

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau meminta maaf kerana memakai solekan berwarna perang ketika menghadiri parti sebuah sekolah 18 tahun lalu.

Satu gambar diterbitkan dalam majalah Time baru-baru ini menunjukkan Trudeau yang ketika itu berusia 29 tahun memakai serban dan jubah, manakala wajah, leher serta tangannya kelihatan gelap.

Trudeau, 47, mengesahkan individu dalam gambar itu adalah dirinya ketika menghadiri majlis tahunan yang bertemakan ‘Malam Arab’ pada parti 2001.

Gambar itu diterbitkan dalam majalah tahunan 2000-2001 sekolah persendirian Akademi West Point Grey iaitu tempat mengajar Trudeau.

Ia didedahkan oleh Time seminggu sebelum kempen pilihan raya umum yang mana Parti Liberal pimpinan Trudeau berdepan persaingan sengit dengan pemimpin Parti Konservatif, Andrew Scheer.

Trudeau turut mengaku memakai solekan gelap sewaktu menyanyi lagi hit Harry Belafonte, Day O di pertandingan bakat sebuah sekolah menengah.

Pada sidang media yang disiarkan di televisyen, Trudeau meminta maaf dan kesal dengan penampilan itu.

"Selama ini, saya berusaha mencipta peluang kepada rakyat, memerangi perkauman dan sikap tidak bertoleransi.

"Saya melakukan kesilapan ketika muda. Sekarang, saya sedar perbuatan itu adalah rasis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 10:27 AM