MANGKUK tandas emas 18 karat bernilai 1 juta paun (RM5.21 juta) dilarikan dari pameran seni di Istana Blenheim di Britain.
MANGKUK tandas emas 18 karat bernilai 1 juta paun (RM5.21 juta) dilarikan dari pameran seni di Istana Blenheim di Britain.
AFP

LONDON: Sebuah mangkuk tandas emas 18 karat yang bernilai 1 juta paun (RM5.21 juta) dilarikan dari pameran seni di Istana Blenheim di Britain, kata polis, hari ini.

Tandas yang berfungsi sepenuhnya itu direka artis Itali, Maurizio Cattelan, yang digelar ‘America’, pernah dipamerkan di Muzium Guggenheim, New York.

Menurut polis, seorang lelaki berusia 66 tahun ditangkap melakukan kecurian di rumah mewah abad ke18 di Oxfordshire, lokasi pameran karya Cattelan pada Khamis lalu.

“Tertuduh memecah masuk ke dalam istana pada waktu malam dan meninggalkan tempat kejadian sekitar 4.50 pagi (waktu tempatan). Tiada dilaporkan cedera semasa kecurian itu,” kata polis tempatan.

Inspektor Jess Milne berkata: “Paip tandas itu yang dipasang dalam bangunan menyebabkan kerosakan pada dinding dan banjir.

“Kami percaya kumpulan itu menggunakan dua kenderaan semasa mencuri.

“Hasil karya seni itu belum dapat dipulihkan pada masa ini tetapi kami menjalankan siasatan menyeluruh untuk mencarinya dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.”

Istana Blenheim pula mengumumkan premis berkenaan terpaksa ditutup hari ini susulan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 11:23 PM