GERKE ketika memberi taklimat mengenai insiden itu. FOTO/AGENSI
GERKE ketika memberi taklimat mengenai insiden itu. FOTO/AGENSI
Agensi

Texas: Seorang lelaki yang melepaskan tembakan rambang dan membunuh tujuh orang di barat Texas kelmarin dikenal pasti sebagai Seth Aaron Ator dan sehingga kini polis tidak tahu apa motif suspek berbuat demikian.

Ator melepaskan tembakan rambang menggunakan raifal jenis AR di Odessa selepas kenderaannya ditahan polis sebelum dia ditembak mati di luar sebuah pawagam.

Kejadian itu turut mencederakan 22 yang lain, termasuk seorang kanak-kanak.

Ketua polis Odessa, Michael Gerke berkata, kehadiran penyerang di pawagam itu mungkin menunjukkan apa yang mahu dilakukannya.

“Mungkin lebih ramai yang terbunuh sekiranya polis tidak menembak mati lelaki itu,” katanya.

Lelaki itu mungkin mempunyai rancangan lebih besar tetapi tindakan polis peronda yang menahannya berjaya mengganggu atau menghalang tujuannya itu.

Drama tembakan itu bermula apabila dua polis peronda lebuh raya menahan kenderaan dipandu Ator kerana suspek tidak menggunakan isyarat membelok.

Suspek kemudian mengeluarkan senjatanya dan mula menembak anggota polis berkenaan menyebabkan seorang anggota tercedera.

Selepas melarikan diri, suspek merampas sebuah van milik pejabat pos dan melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai sebelum mati ditembak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 12:40 PM