GAMBAR menunjukkan asap setinggi 2 kilometer dari hutan hujan Amazon. FOTO AFP
GAMBAR menunjukkan asap setinggi 2 kilometer dari hutan hujan Amazon. FOTO AFP
Agensi

PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro semalam, membenarkan tentera digunakan untuk memadam kebakaran hutan Amazon selepas Kritikan dunia serta ancaman pemimpin Eropah untuk memutuskan hubungan dagang dengan Amerika Selatan.

Dalam ucapan ke seluruh negara, Bolsonaro memberi kebenaran tentera digerakkan bagi memadam kebakaran hutan hujan tropika terbesar dunia yang mengancam cuaca bumi itu.

Perancis mendesak pemimpin G7 membincangkan krisis alam sekitar di Brazil itu ketika menghadiri persidangan di Biarritz, utara Perancis, bermula semalam.

Perancis dan Ireland mengancam membantah perjanjian dagang Kesatuan Eropah yang dicapai dengan Amerika Selatan Jun lalu, berikutan Brazil dianggap tidak memandang berat kebakaran hutan itu.

AFP melaporkan, rekod terbaru menunjukkan 76,720 kebakaran hutan berlaku di Brazil tahun ini, jumlah tertinggi sejak 2013 dengan aktivis serta pakar mendakwa pembersihan hutan untuk aktiviti pertanian, pembalakan dan pelombongan menjadi punca.

Menurut Al Jazeera, Amazon adalah hutan hujan tropika terbesar dunia meliputi lima juta kilometer persegi merentas sembilan negara iaitu Brazil, Bolivia, Colombia, Ecuador, French Guiana, Guyana, Peru, Surinam dan Venezuela. Hampir dua pertiga hutan itu berada di Brazil.

Isnin lalu, waktu siang di bandar raya Sao Palo bertukar menjadi malam akibat jerebu dan asap kebakaran terbabit.

Negeri terbesar Brazil, Amazonas, mengisytiharkan darurat pada 9 Ogos manakala Acre diletak dalam keadaan berjaga-jaga sejak 16 Ogos.

Menurut Institut Kajian Angkasa Kebangsaan (INPE) Brazil, kira-kira 700 kebakaran baharu dikesan sejak Rabu lalu.

Menurut AFP, selepas mesyuarat tergempar dengan anggota Kabinet malam kelmarin, Bolsonaro mengumumkan perisytiharan membenarkan tentera digerakkan.

Negara jiran Brazil, Paraguay dan Bolivia juga berusaha memadam kebakaran hutan di negara masing-masing manakala kerajaan Bolivia menerima pesawat gergasi pemadam api bagi memadam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 7,770 kilometer persegi hutan di wilayah sejak sebulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:01 AM