MILITAN Taliban dan tentera kerajaan Afghanistan bersalaman di Kabul ketika gencatan senjata tiga hari sempena Aidilfitri tahun lalu. FOTO EPA
MILITAN Taliban dan tentera kerajaan Afghanistan bersalaman di Kabul ketika gencatan senjata tiga hari sempena Aidilfitri tahun lalu. FOTO EPA
AFP

KABUL: Pemimpin tertinggi Taliban di Afghanistan yang berikrar meneruskan perjuangan sehingga objektif pertubuhan itu tercapai, membayangkan pihaknya belum bersedia untuk rundingan damai dengan kerajaan Afghanistan yang disokong Barat.

Dalam ucapan sempena Aidilfitri semalam, Mullah Haibatullah Akhundzada memberi jaminan kepada rakyat bahawa Taliban mahu menamatkan konflik berdekad itu dan memastikan kerajaan yang mentadbir mewakili semua rakyat.

Namun, beliau tidak menunjukkan keinginan besar Taliban untuk gencatan senjata atau rundingan langsung dengan Kabul, kerajaan Afghanistan yang dianggap boneka asing.

MULLAH Haibatullah Akhundzada.
MULLAH Haibatullah Akhundzada.

Beliau juga tidak memberi bayangan gencatan senjata selama tiga hari sempena Aidilfitri seperti tahun lalu, yang menyaksikan militan Taliban dan tentera kerajaan bersalaman serta berpelukan di jalanan.

Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, mencadangkan gencatan senjata di seluruh negara sejak awal Ramadan lalu, namun ditolak Taliban.

“Tidak wajar untuk sesiapa mengharapkan kami mencurah air kepada perjuangan atau jihad atau melupakan pengorbanan 40 tahun sebelum kami mencapai tujuan,” katanya yang menegaskan Taliban mahu menamatkan penjajahan dan menubuhkan kerajaan Islam.

Sejak beberapa bulan lalu, wakil Taliban berunding dengan wakil Amerika Syarikat dan kerajaan mengenai pengunduran lebih 20,000 tentera Amerika dan NATO sebagai pertukaran jaminan Afghanistan tidak akan menjadi pangkalan militan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 8:49 AM