GAMBAR menunjukkan Song membuka pintu kecemasan pada pesawat yang dinaiki kerana tidak mahu beratur ketika turun. FOTO Agensi
GAMBAR menunjukkan Song membuka pintu kecemasan pada pesawat yang dinaiki kerana tidak mahu beratur ketika turun. FOTO Agensi
Agensi

BEIJING: Seorang penumpang yang tidak sabar ditahan selama 10 hari selepas dia membuka pintu kecemasan pada pesawat yang dinaikinya kerana tidak mahu beratur untuk turun dari kapal terbang.

South China Morning Post melaporkan, lelaki itu yang dikenali sebagai Song bersama keluarganya menaiki pesawat penerbangan Shandong Airlines dari Jinan menuju ke Shanghai.

Menurut portal berita The Paper, lelaki itu menjadi tidak sabar ketika menunggu untuk keluar dari pesawat yang baru mendarat dan terus membuka pintu kecemasan di tempat duduknya.

“Saya menarik hendal ini dan membukanya,” kata lelaki berusia 65 tahun dalam satu video yang merakamkan aksinya itu.

Bagaimanapun, lelaki itu tidak jadi turun kerana tiada tangga di pintu berkenaan dan tidak lama selepas itu dikelilingi petugas serta pengawal keselamatan lapangan terbang.

Song yang ditahan memberitahu polis, ini adalah kali pertama dia menaiki pesawat dan tidak tahu pintu kecemasan itu hanya boleh dibuka pada waktu kecemasan.

Petugas kemudian menutup semula pintu kecemasan berkenaan tanpa menyebabkan sebarang kelewatan pada penumpang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 8:33 AM