PRESIDEN Donald Trump. FOTO Reuters
PRESIDEN Donald Trump. FOTO Reuters
AFP

SAN FRANCISCO: Sebanyak 16 negeri di Amerika Syarikat (AS) mengemukakan tindakan undang-undang terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump susulan keputusan pengisytiharan darurat kebangsaan, dalam usaha untuk mendapat dana membiayai pembinaan tembok sempadan dengan Mexico.

Tindakan undang-undang yang difailkan di Mahkamah Persekutuan California itu menegaskan, arahan presiden bercanggah dengan Fasal Penyerahan yang menggariskan prosedur perundangan dan Fasal Peruntukkan yang mentakrifkan Kongres sebagai penentu muktamad dana awam.

Langkah itu diumumkan sebelum ini oleh Peguam Negeri California, Xaiver Becerra yang mengatakan, negerinya dan beberapa negeri lagi mempunyai hak perundangan kerana mereka berdepan risiko kehilangan wang yang digunakan untuk projek-projek ketenteraan, bantuan bencana dan tujuan lain.

Beberapa Senator Republikan juga menyatakan kebimbangan mengenai pengisytiharan darurat berkenaan.

California, Colorado, Connecticut, Delaware, Hawaii, Illinois, Maine, Maryland, Michigan, Minnesota, Nevada, New Jersey, New Mexico, New York, Oregon dan Virginia antara negeri yang memfailkan injunksi terhadap pengisytiharan darurat itu.

Pengisytiharan darurat yang dibuat pada Jumaat lalu membolehkan presiden mengambil dana daripada bajet pembinaan ketenteraan dan sumber lain untuk disalurkan ke pembinaan tembok berkenaan.


RAKYAT AS memegang sepanduk menyatakan protes terhadap pengisytiharan darurat kebangsaan. FOTO AFP
RAKYAT AS memegang sepanduk menyatakan protes terhadap pengisytiharan darurat kebangsaan. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 11:21 AM