GUNUNG berapi di kepulauan Kuchinoerabu yang meletus. FOTO/REUTERS
GUNUNG berapi di kepulauan Kuchinoerabu yang meletus. FOTO/REUTERS
Reuters

Tokyo: Satu gunung berapi yang terletak di sebuah pulau terpencil di selatan Jepun meletus hari ini, kata agensi meteorologi tetapi tahap amaran adalah rendah dan tidak memerlukan penduduk berpindah.

Agensi Meteorologi Jepun memberitahu, gunung berapi di pulau Kuchinoerabujima yang terletak kira-kira 1,000 kilometer dari barat daya Tokyo meletus pada jam 9.20 pagi (waktu tempatan).

Imej yang disiarkan secara langsung menunjukkan asap dan debu tebal keluar dari puncak gunung berkenaan.

Letusan itu mencetuskan aliran piroklas iaitu aliran debu dan gas panas tetapi agensi berita Kyodo melaporkan, aliran itu tidak sampai ke kawasan yang mempunyai penduduk.

Gunung berapi yang sama meletus pada 2015 yang menghamburkan debu dan asap tebal beratus-ratus meter ke udara serta mencetuskan aliran piroklas yang bahaya hingga ke laut.

Seluruh penduduk di pulau berkenaan sempat dibawa keluar sebelum letusan berlaku dan mereka kembali semula selepas itu.

Kira-kira 100 penduduk tinggal di pulau itu ketika ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 10:16 AM