Gaya Murtadza dengan jersi Argentina beg plastik sebelum ini. FOTO AFP/AP
Gaya Murtadza dengan jersi Argentina beg plastik sebelum ini. FOTO AFP/AP
Reuters

KABUL: Keluarga kanak-kanak Afghanistan yang popular di internet selepas dirakam memakai beg plastik kelihatan seperti bendera Argentina kerana meminati bintang bola sepak negara itu, Lionel Messi, terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas serangan Taliban.

Murtaza Ahmadi, kini berusia tujuh tahun, menjadi tajuk utama dunia dua tahun lalu apabila abangnya menghasilkan baju T daripada beg plastik berwarna biru dan putih dengan nama Messi dan nombor 10 yang digunakan pemain bola sepak itu.

Kemasyhuran kanak-kanak itu memberi peluang kepadanya bertemu dengan Messi tetapi menyebabkan masalah kepada keluarganya, anggota etnik minoriti Hazra dari daerah Jaghori di wilayah Ghazni.

“Murtaza terkenal di seluruh dunia dan kami tidak bebas lagi untuk berjalan dan pergi ke mana-mana.

“Murtaza dan anak saya yang lain tidak dapat ke sekolah.

“Pada waktu malam, sekumpulan lelaki mencurigakan berjalan berhampiran rumah kami dan apabila Taliban menyerang kampung kami, kami memutuskan untuk berpindah,” kata ibunya, Shafiqa Ahmadi, di rumah mereka di Kabul.

Ghazni, kira-kira dua jam perjalanan ke selatan Kabul, menjadi lokasi pertempuran sengit tahun ini.

“Keselamatan tidak baik dan saya takut untuk keluar rumah.

“Saya mahu menjadi pemain bola sepak seperti Messi dan mahu ke sekolah,” kata Murtaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 8:48 PM