Seorang pelatih Rumah Putih cuba merampas pembesar suara dipegang Acosta ketika beliau menyoal Trump dalam sidang media selepas pilihan raya pertengahan penggal di Rumah Putih 7 November lalu. -Foto Reuters
Seorang pelatih Rumah Putih cuba merampas pembesar suara dipegang Acosta ketika beliau menyoal Trump dalam sidang media selepas pilihan raya pertengahan penggal di Rumah Putih 7 November lalu. -Foto Reuters

WASHINGTON: Mahkamah akan mendengar sebutan kes tuntutan saman CNN terhadap pentadbiran Donald Trump, mendakwa Rumah Putih melanggar hak perlembagaan koresponden, Jim Acosta dengan membatalkan kelayakan medianya susulan pertengkaran hebat dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu.

Rumah Putih menolak aduan CNN sebagai ‘sengaja menarik perhatian’ dan berikrar untuk ‘menentang bersungguh-sungguh’ tuntutan itu.

Pertengkaran disaksikan dalam siaran langsung menyebabkan Acosta dilarang membuat liputan, mencetuskan rentetan tuduhan, Trump mengekang kebebasan media dan mencetuskan kemuncak ketegangan antara pemimpin itu dan CNN, yang kerap menjadi sasaran kemarahannya.

“Pembatalan secara salah kelayakan ini melanggar hak kebebasan media Pindaan Pertama CNN dan Acosta serta hak Pindaan Kelima terhadap proses itu,” kata rangkaian berita itu dalam kenyataan mengumumkan tuntutan saman difailkan semalam di Mahkamah Persekutuan di sini.

CNN meminta arahan sekatan sementara, memberi amaran penggantungan kelayakan Acosta mungkin mencetuskan satu serangan akan datang terhadap media lain.

“Jika tidak dicabar, tindakan Rumah Putih akan mencetuskan kesan berbahaya kepada mana-mana wartawan yang membuat liputan pegawai dipilih,” katanya.

Hakim Daerah Timothy Kelly mengarahkan pentadbiran Trump memberi maklum balas menjelang jam 11 pagi hari ini, dan menetapkan sebutan jam 3.30 petang hari sama.

Kelly, seorang bekas ketua penasihat Jawatankuasa Kehakiman Senat AS, dilantik ke jawatan itu oleh Trump tahun lalu.

Rumah Putih menggantung pas media Acosta selepas beliau bertengkar dalam sidang media dengan Trump, yang menuntut wartawan itu berhenti menggunakan pembesar suara dan menggelarnya seorang individu ‘biadab dan teruk’ kerana tidak mematuhinya.

Acosta terus bertanya lebih banyak soalan dan seorang pelatih Rumah Putih cuba menarik pembesar suara daripada wartawan CNN itu, insiden di mana pentadbiran Trump menganggapnya sebagai salah laku terhadap wanita.

Beberapa jam kemudian, Setiausaha Media Rumah Putih, Sarah Sanders mengumumkan, pas media Acosta digantung, tindakan jarang berlaku dengan mendakwa wartawan terbabit tidak wajar ‘meletakkan tangannya’ terhadap pelatih terbabit.

Sanders kemudian menghantar tweet video dikatakan menyokong kisahnya terhadap insiden itu, namun penganalisis berkata, rakaman itu dipercepatkan untuk memperlihatkan Acosta memukul pelatih terbabit.

Peguam CNN, Ted Boutrous berkata, penggantungan pas media Rumah Putih jelas dilakukan ‘berdasarkan kandungan laporan’.

“Hujahan CNN adalah secara terus terang. Kami tidak boleh membenarkan Rumah Putih mengusir keluar orang kerana mereka tidak suka dengan apa yang mereka katakan atau apa yang mereka laporkan.

“Itu apa yang berlaku. Itu adalah Pindaan Pertama. Kedua-dua Acosta dan CNN adalah plaintif dalam tuntutan saman ini, yang menyasar enam defendan: Trump, Sanders, ketua turus kakitangan Rumah Putih, John Kelly, timbalan ketuanya, William Shine, Perkhidmatan Rahsia dan pengarahnya bersama ejen yang menggantung kelayakan wartawan,” kata peguam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 3:47 PM