TUTI Tursilawati
TUTI Tursilawati
Agensi

Jakarta: Kerajaan Indonesia kesal dengan pihak berkuasa Arab Saudi yang melaksanakan hukuman bunuh terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia pada Isnin lalu tanpa memberitahu keluarga atau pegawai negara itu.

Tuti Tursilawati dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh majikannya ketika cuba mempertahankan diri daripada dirogol.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi segera menghubungi rakan sejawatnya di Arab Saudi, Adel bin Ahmed Al Jubeir untuk menyatakan bantahannya terhadap hukuman berkenaan selepas dimaklumkan ia dilaksanakan pada Isnin lalu.

“Hukuman terhadap Tuti dijalankan tanpa pemberitahuan awal. Saya memanggil duta Arab Saudi, Usamah Muhammad Al Syuaiby untuk bertemu saya di Bali,” katanya yang dipetik Jakarta Post.

Hukuman terhadap wanita itu turut mencetuskan bantahan terhadap Arab Saudi yang diadakan di bangunan kedutaan itu di Jakarta.

Sementara itu, pengarah perlindungan rakyat di luar negara, Lalu Muhammad Iqbal berkata, dia sendiri menyampaikan berita itu kepada keluarga Tuti ketika melawat mereka di kampungnya di Majalengka, Jawa Barat.

Keluarga Tuti terkejut dengan berita itu kerana dua minggu lalu wanita itu diberi kebenaran membuat panggilan video dengan ibunya dan memberitahu dia sihat dan tidak perlu risau dengan hukumannya.

Tuti didakwa membunuh bapa majikannya dengan memukul lelaki itu dengan kayu sampai mati pada 2010.

Menurut laporan, wanita itu melakukan pembunuhan berkenaan sebagai tindakan membela diri daripada dirogol lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, Lalu memberitahu, Tuti memang menjadi mangsa serangan seksual ketika bekerja dengan majikannya tetapi tidak ketika pembunuhan itu berlaku.

Selepas kejadian itu, Tuti melarikan diri tetapi dia dirogol oleh sembilan lelaki Arab Saudi sebelum diselamatkan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 9:29 AM