GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

SAN FRANCISCO : Instagram semalam meningkatkan usaha membanteras buli siber dengan menggunakan perisik mesin bagi mengesan kandungan berbentuk ugutan atau penghinaan.

Langkah itu diputuskan selepas Facebook turut meningkatkan pendekatan anti gangguan susulan laporan kaji selidik yang memberitahu, mangsa dari golongan muda merasakan firma media sosial berkenaan tidak mengambil langkah tegas membasmi masalah terbabit.

Ketua Instagram, Adam Mosseri berkata perisik mesin berkenaan digunakan bagi mengesan buli siber dan secara automatik menanda kandungan itu untuk dinilai petugas dari jaringan media sosial berorientasikan gambar.

“Perubahan ini akan membantu kami mengenal pasti dan membuang kandungan yang membuli pengguna lain,” katanya dalam satu kenyataan di laman blog.

“Ia adalah satu tindakan penting kerana ramai mangsa yang dibuli atau mengetahui kejadian ini tidak melaporkan kejadian itu,” katanya.

Pelaksanaan secara menyeluruh jaringan media sosial itu dijangka mengambil beberapa minggu.

Dalam satu langkah lain Mosseri berkata, sistem tapisan yang membolehkan pengguna Instagram mengesan dan menyembunyikan kandungan berunsur buli dari profil diperluaskan kepada komen di video secara langsung.

Dalam usaha menggalakkan orang ramai berkelakuan baik antara satu sama lain, Instagram turut menambah efek kamera yang boleh digunakan untuk menghias gambar dengan bentuk hati atau perkataan ‘kindness’ dalam pelbagai versi bahasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 10:39 AM