POLIS memeriksa lokasi mayat mangsa ditemui dibakar di sebuah ladang sawit di Pekan Baru, Indonesia. - Sumbar Time
POLIS memeriksa lokasi mayat mangsa ditemui dibakar di sebuah ladang sawit di Pekan Baru, Indonesia. - Sumbar Time
Agensi

PEKAN BARU (Riau): Misteri kehilangan seorang pelajar sekolah agama selama 20 hari akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui dibakar di sebuah ladang kelapa sawit di Bandar Raya, Payung Sekaki di sini, pada Isnin lalu.

Rizky Aprianto, 20, yang belajar di Madrasah Aliyah dilaporkan hilang pada 11 September lalu selepas pulang dari sekolah dengan menunggang sebuah motosikal.

Mayat mangsa ditemui penduduk yang terjumpa tulang manusia yang dibakar di sebuah ladang kelapa sawit pada Isnin lalu.

Sehari selepas itu, polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai Ma yang turut ditembak di kaki kerana melawan ketika ditangkap pihak berkuasa.

Jurucakap polis, Sunarto berkata, susulan tangkapan berkenaan pihaknya berjaya menemui telefon bimbit dan sebuah motosikal milik mangsa yang ditanam tidak jauh dari lokasi mayat pelajar itu ditemui.

Menurutnya, suspek mengaku dia menahan mangsa yang menaiki motosikal sebelum membawanya ke sebuah pondok di dalam ladang kelapa sawit berkenaan.

“Suspek meminta Rizky menyerahkan barangan berharganya tetapi dia melawan menyebabkan lelaki itu memukul mangsa hingga mati.

“Bagi menghilangkan bukti, suspek membakar mangsa dengan pelepah kelapa sawit sebelum menanam motosikalnya,” katanya.

Suspek turut mengambil telefon bimbit mangsa yang kemudian dijual pada harga Rp500,000 (RM136).

Menurutnya, lelaki itu ditangkap selepas polis berjaya menjejaki nombor telefon bimbit mangsa yang digunakan oleh adik suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 8:38 AM