PEMBINAAN tembok konkrit sepanjang utara dengan Lubnan. FOTO/AGENSI
PEMBINAAN tembok konkrit sepanjang utara dengan Lubnan. FOTO/AGENSI
AFP

ROSH HANIQRA: Israel terus membina tembok konkrit baharu di sepanjang sempadan utaranya dengan Lubnan minggu ini sambil diperhatikan tentera Lubnan dari menara di bahagian bertentangan.

Israel menghabiskan bertahun membangunkan penghadang bagi menghalang penduduk Palestin dari jajahan Tebing Barat dan Semenanjung Gaza serta pendatang Afrika menyeberang sempadan itu dari Mesir.

Awal tahun ini, pembinaan baharu bermula di sepanjang sempadan Lubnan di mana Israel membina tembok dilengkapi kamera dengan harapan menghalang sebarang cubaan oleh musuhnya, Hizbullah menyusup masuk dan menyerang.

Ia susulan pembinaan tembok terdahulu pada 2012 di sekitar bandar Israel di Metula berhampiran sempadan Lubnan.

Negara Yahudi itu berkata, semua bahagian tembok itu berada di bahagian apa yang digelar garisan biru, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mewujudkan garisan gencatan senjata selepas pengundurannya dari selatan Lubnan pada 2000.

Namun Lubnan berkata, sesetengah bahagian akan memutuskan wilayahnya dan awal tahun ini berikrar satu gesaan diplomatik bagi menghalang pembinaan itu.

Rancangan Lubnan untuk meneroka minyak dan gas di luar perairan diintai kedua-dua pihak menambah kontroversi itu.

Pegawai tentera Israel memaklumkan media ketika satu lawatan kerja berhampiran pantai Mediterranean semalam, tembok itu, menggantikan pagar, dibina untuk tujuan pertahanan.

Israel berperang dengan kumpulan militan Syiah berpusat di Lubnan, Hizbullah pada 2006. Kawasan sempadan kekal tenang selepas itu.

“Halangan itu pada asasnya berkaitan dengan hasrat, ancaman dibuat secara terbuka oleh Hizbullah sejak 2011 untuk menyusup masuk ke dalam Israel dan menyerang penduduk di selatan yang berada di garisan biru. Kami mengambil serius ancaman ini,” kata Mejar Tomer Gilad.

Israel setakat ini membina tembok sepanjang 11 kilometer dan berhasrat membina dua lagi tembok serupa. Tentera berharap ia dapat melanjutkannya pada jarak 130 kilometer, di sepanjang sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 10:40 PM