MACRON dianggap seorang presiden sombong dan tidak boleh disentuh oleh pengkritiknya. Foto AFP
MACRON dianggap seorang presiden sombong dan tidak boleh disentuh oleh pengkritiknya. Foto AFP
Reuters

PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron dikecam semalam selepas pejabatnya bertindak menggantung seketika tugas seorang pembantu kerana memukul penunjuk perasaan Mei lalu dan menyamar sebagai pegawai polis namun tidak memaklumkan penguatkuasa undang-undang.

Pengkritik Macron berkata, insiden itu mengukuhkan persepsi beliau seorang presiden sombong dan tidak boleh disentuh susulan kontroversi berhubung perbelanjaan kerajaan berkaitan pembelian pinggan mangkuk, pembinaan kolam renang di sebuah pusat peranginan presiden dan kenyataan tidak wajar mengenai kos kebajikan.

Satu video daripada perhimpunan Hari Mei tahun ini, dikeluarkan akhbar Le Monde kelmarin, menunjukkan seorang lelaki memakai topi keledar polis dan tag pengenalan, menyeret seorang wanita jauh dari situ dan kemudian memukul seorang penunjuk perasaan.

Lelaki itu kemudian dikenal pasti sebagai seorang kakitangan presiden.

“Kakitangan itu, Alexandre Benalla, diberi kebenaran untuk menyaksikan demonstrasi hanya sebagai pemerhati. Jelasnya, dia bertindak jauh daripada itu.

“Dia segera dipanggil ketua turus kakitangan presiden dan digantung tugas 15 hari. Ini dianggap sebagai denda kerana kelakuan tidak boleh diterima,” kata jurucakap presiden Bruno Roger-Petit dalam satu kenyataan video.

Dalam satu kunjungan ke barat daya Perancis semalam, Macron enggan menjawab soalan daripada media berkenaan isu itu, mengatakan dalam video dihantar wartawan Le Figaro: “Saya tidak datang sini untuk berjumpa anda. Saya datang berjumpa Datuk Bandar.”

Pendakwa raya Paris yang tidak menyedari isu itu sebelum semalam, melancarkan satu siasatan awal terhadap Benalla kerana disyaki melakukan keganasan, mengambil fungsi seorang pegawai polis dan menggunakan tanda dikhaskan untuk pihak berkuasa awam.

Tidak lama kemudian, speaker dewan rendah Parlimen, Francois de Rugy mengumumkan satu siasatan Parlimen terhadap kes itu.

Parti pembangkang mengutuk cara pejabat presiden menguruskan isu berkenaan, mempertikaikan hukuman itu terlalu ringan dan insiden itu seharusnya dirujuk kepada pihak berkuasa perundangan.

“Video itu mengejutkan. Hari ini kami merasakan rombongan Macron berada melebihi undang-undang,” kata Presiden Republicains yang konservatif, Laurent Wauquiez kepada radio Europe 1.

Pemimpin haluan kiri Jean-Luc Melenchon memberitahu media: “Jika kita menerima sesiapa boleh menjadi anggota polis bersebelahan polis, justeru kita tidak boleh lagi mempunyai peraturan undang-undang. Lelaki ini adalah mata dan telinga putera raja (Macron).”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 9:13 AM