Bote mati ditembak jarak dekat. FOTO FB Mabuhay Papaya LGU
Bote mati ditembak jarak dekat. FOTO FB Mabuhay Papaya LGU
Reuters

MANILA: Penyerang yang menunggang motosikal, hari ini membunuh datuk bandar di utara ibu kota Filipina, kejadian kedua dalam masa dua hari, kata polis.

Ferdinand Bote, 57, menjadi pegawai tempatan ke-12 yang dibunuh sejak Presiden Rodrigo Duterte melancarkan kempen anti-narkotik selepas menjadi pemimpin negara itu dua tahun lalu, walaupun Bote tidak ada kaitan dengan perdagangan dadah.

Beliau dan pemandunya meninggalkan bangunan kerajaan di ibu negeri Nueva Ecija apabila penyerang mendekati kenderaannya dan menembak mati mangsa, kata ketua polis bandar itu, Adrian Gabriel.

“Beliau ditembak berulang kali dengan pistol,” kata polis dalam laporan awal tetapi pemandunya selamat.

Polis menemui sekurang-kurangnya 18 kelongsong peluru di lokasi.

Kerajaan akan berusaha menyiasat jenayah terbaru itu, kata jurucakap Duterte, Harry Roque.

“Kami memberi jaminan kepada semua bahawa kami akan menunaikan kewajipan untuk semua pembunuhan,” katanya dalam kenyataan, menjanjikan siasatan adil dan menyeluruh oleh polis untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 9:23 PM