ORANG ramai membantu seorang lelaki yang cedera. - EPA
ORANG ramai membantu seorang lelaki yang cedera. - EPA
Agensi

Addis Ababa: Sekurang-kurangnya 83 orang cedera termasuk enam dalam keadaan kritikal selepas serangan ketika perhimpunan politik pertama dihadiri Perdana Menteri Abiy Ahmed yang dipercayai menyasarkan pemimpin itu, semalam.

Sejurus sebelum kejadian itu, Abiy berkata dalam kenyataan disiarkan di televisyen bahawa ‘beberapa orang maut.’ Bagaimanapun, ketua turusnya Fitsum Arega kemudian mengesahkan tiada kematian dilaporkan walaupun puluhan orang cedera.

Timbalan Ketua Suruhanjaya Polis Addis Ababa, Girma Kassa memberitahu Fana Broadcasting Corporation bahawa 100 orang cedera, 15 daripadanya ‘parah.’

Abiy berkata, letupan dirancang kumpulan yang mahu mengganggu perhimpunan itu, tanpa mengulas lanjut, lapor Fana Broadcasting Corporate.

“Perbuatan ini angkara pihak yang tidak mahu melihat Habsyah yang bersatu,” katanya.

Kejadian berlaku ketika Abiy selesai membuat ucapan di depan ribuan orang di Dataran Meskel, pusat bandar Addis Ababa apabila letupan berlaku sebelum orang ramai menyerbu ke arah pentas tempat pemimpin itu berada.

ABIY melambai kepada orang ramai sejurus sebelum letupan berlaku. - EPA
ABIY melambai kepada orang ramai sejurus sebelum letupan berlaku. - EPA

Abiy terus dibawa dari situ dalam pada orang ramai terus menyerbu pentas dan membaling pelbagai objek terhadap polis menjerit ‘Woyane, turun, turun’ serta ‘Woyane pencuri’ menggunakan gelaran negatif untuk kerajaan. AFP melaporkan, polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Punca letupan belum dapat disahkan namun laporan awal Reuters memetik anggota jawatankuasa penganjur, Seyoum Teshome mendakwa seseorang cuba membaling bom ke arah pentas ketika perdana menteri berada di situ.

Abiy menggantikan Hailemariam Desalegn yang meletak jawatan pada Februari lalu susulan gelombang protes antikerajaan oleh dua kumpulan etnik terbesar negara itu yang bermula pada 2015 dan mengakibatkan ratusan orang maut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 5:23 AM