MORLINS (kanan) bersama anggota polis lain melihat tempat kejadian. FOTO/AFP
MORLINS (kanan) bersama anggota polis lain melihat tempat kejadian. FOTO/AFP
Reuters

PARIS : Seorang pejalan kaki maut manakala empat lagi cedera diserang dengan pisau oleh individu tidak dikenali yang turut melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’ sebelum suspek sendiri ditembak mati pihak berkuasa.

Pegawai pendakwa Perancis, Francois Molins berkata, kes berkenaan sedang disiasat oleh polis anti pengganas.

Presiden Emmanuel Macron turut memuji pegawai polis yang bertindak pantas untuk mententeramkan suasana dan menumpaskan penyerang itu.

“Perancis tidak akan berganjak dari menumpaskan pengganas yang cuba menggugat kemerdekaan negara,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter.

Negara itu berada dalam keadaan siap siaga susulan siri serangan yang digerakkan atau diilhamkan oleh kumpulan militan Daesh sejak tiga tahun lalu sehingga meragut puluhan nyawa.

Militan berkenaan mengaku bertanggungjawab atas serangan semalam menerusi satu kenyataan oleh agensi berita Amaq milik mereka namun tidak menyertakan sebarang bukti.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerard Collomb menyifatkan insiden terbabit sebagai satu perkara tidak menyenangkan memandangkan ia berlaku di tengah-tengah ibu negara yang terkenal dengan pelbagai tarikan pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 8:08 AM