ARYA kini mampu aktif semula dan gembira dapat bersekolah. - Daily Mail
ARYA kini mampu aktif semula dan gembira dapat bersekolah. - Daily Mail
BERENANG antara aktiviti seharian Arya dalam usahanya menurunkan berat badan.  - Daily Mail
BERENANG antara aktiviti seharian Arya dalam usahanya menurunkan berat badan. - Daily Mail

Jakarta: Kanak-kanak obes, Arya Permana yang sebelum ini terkenal kerana berat badan 190 kilogram (kg) ketika baru berusia 10 tahun kini semakin sihat selepas berjaya mengurangkan 83kg, malah kini mampu berjalan ke sekolah serta bersukan.

Arya yang satu ketika dulu ‘tidak pernah rasa kenyang’ berkata: “Kini saya tiada selera, makan enam sudu makanan pun sudah kenyang. Saya juga dilarang makan serta minum benda manis, terutama minuman ringan.”

Kanak-kanak yang kini berusia 12 tahun dari Karawang, Jawa Barat itu sebelum ini sama berat dengan enam budak lelaki seusianya selain sukar berjalan menyebabkan dia lebih banyak terlantar, malah terpaksa berhenti sekolah.

Doktor menganggap keadaannya antara kes obesiti paling sukar di dunia.

Dia yang juga pernah direkodkan budak lelaki paling berat oleh Muzium Rekod Dunia Indonesia, pada April tahun lalu menjadi orang termuda di dunia menjalani pembedahan gastrik untuk mengekang pemakanannya.

Sebelum pembedahan itu, dia makan lebih setengah kilogram nasi dan ayam setiap hari selain dua paket mi dan telur, hampir enam kali sehari kerana ‘tidak pernah rasa keyang.’

Ibu bapanya akhirnya mendapatkan bantuan selepas keadaannya semakin kritikal, apabila dia pengsan ketika acara di sekolahnya.

Arya kini berazam menurunkan lagi berat badannya.

“Saya mahu mengurangkan 50kg lagi. Saya amat gembira dengan keadaan sekarang, malah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Paling seronok apabila dapat bersekolah semula dan saya kini ramai kawan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 5:47 AM