Friede membiarkan ular mematuknya untuk menghasilkan vaksin ular. FOTO Caters News Agency
Friede membiarkan ular mematuknya untuk menghasilkan vaksin ular. FOTO Caters News Agency
Agensi

Madison (Amerika Syarikat): Seorang saintis mendakwa dia kini imun dengan bisa ular selepas membiarkan dirinya dipatuk beratus-ratus kali oleh reptilia berbisa berkenaan.

Tim Friede, 39, berkata, dia dipatuk lebih 200 kali oleh ular berbisa yang boleh membunuh dalam tempoh beberapa minit dalam usahanya membantu kajian bagi menghasilkan vaksin bisa ular.

Friede juga mendakwa satu-satunya manusia di dunia yang boleh terselamat apabila dipatuk ular berulang kali.

Dia juga membiarkan dirinya dipatuk ular jenis Black Mamba yang dianggap paling berbisa di dunia dan boleh membunuh dalam tempoh 15 minit.

Dalam satu temubual dengan The Wizard of Odd TV di rumahnya di Lac, Wisconsin, Friede menunjukkan seekor ular Black Mamba mematuk jarinya sebanyak tiga kali dan sekali di lengannya.

Dalam tempoh beberapa saat, anggota badannya terus membengkak, menunjukkan bisa itu mula masuk ke saluran darahnya.

Friede memberitahu, kesakitan dialaminya akibat dipatuk ular itu seperti dipukul dengan tukul besi tetapi dia selamat kerana badannya mempunyai antibodi terhadap bisa ular hasil kajiannya selama dua dekad.

“Saya mempertaruhkan nyawa saya setiap hari adalah untuk satu tujuan: menyelamatkan nyawa.

“Saya menyuntik dan membiarkan saya dipatuk ular adalah bertujuan menghasilkan antivenom umum untuk manusia,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh lebih 17 tahun, dia menggunakan tujuh spesies ular berbisa untuk menjadikan tubuhnya imun terhadap bisa.

“Black Mamba adalah ular paling berbisa di dunia dan kesan gigitan pada tangan saya ini akan kekal selama dua atau tiga hari sebelum ia hilang,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 9:18 PM