ANGGOTA keselamatan mengusung mayat mangsa yang terbunuh dalam serangan bom berani mati berhampiran masjid Syiah di Kabul semalam. - Reuters
ANGGOTA keselamatan mengusung mayat mangsa yang terbunuh dalam serangan bom berani mati berhampiran masjid Syiah di Kabul semalam. - Reuters
AFP

Kabul: Sekurang-kurangnya sembilan orang maut selepas pengebom berani mati meletupkan dirinya di kawasan majoriti penganut Syiah di Kabul semalam, kata seorang pegawai.

Serangan berani mati ketiga dalam tempoh dua minggu itu berlaku selepas kumpulan Taliban berdepan tekanan untuk menerima tawaran kerajaan Afghanistan bagi mengadakan rundingan damai mengakhiri pemberontakan selama lebih 16 tahun yang meragut ribuan nyawa itu.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang berlaku berhampiran acara memperingati ulang tahun ke-23 kematian Abdul Ali Mazari, bekas pemimpin terkenal etnik Hazara Syiah yang dibunuh Taliban.

“Angka kematian meningkat kepada sembilan orang dengan 18 orang lagi dilaporkan cedera,” kata jurucakap kementerian dalam negeri Nasrat Rahimi kepada AFP.

Tambahnya, antara yang maut itu termasuk dua anggota polis, manakala selebihnya orang awam.

Sementara itu, ketua polis Kabul, Mohammad Daud Amin memberitahu Tolo News, pengebom itu meletupkan peranti letupan di sebuah pusat pemeriksaan selepas identitinya dikenal pasti oleh polis.

“Pengebom itu gagal masuk ke dalam acara berkenaan untuk menyasarkan orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 6:47 AM