DUA kanak-kanak dirawat di sebuah hospital di Syria akibat kesukaran bernafas dipercayai menjadi mangsa serangan bom kimia. - Agensi
DUA kanak-kanak dirawat di sebuah hospital di Syria akibat kesukaran bernafas dipercayai menjadi mangsa serangan bom kimia. - Agensi
AFP

Paris: Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberi amaran negara itu bersedia menyerang Syria sekiranya ada bukti muncul menunjukkan rejim itu menggunakan senjata kimia yang diharamkan terhadap orang awam.

“Kami akan menyerang tempat senjata itu dilancarkan dan lokasi mereka merancang mengenainya.

“Setakat ini, kami masih belum mempunyai bukti bahawa senjata kimia yang diharamkan digunakan terhadap orang awam.

“Namun, sebaik sahaja bukti itu diperoleh, saya akan penuhi janji yang saya buat sebelum ini,” kata Macron sambil memberi amaran bahawa keutamaan adalah berjuang menentang pengganas.

Macron juga menggesa satu mesyuarat berkaitan Syria diadakan di rantau itu sekiranya ia boleh dilaksanakan.

“Saya mempunyai banyak cadangan,” kata pemimpin itu tanpa mengulas lanjut.

Dalam satu perbualan telefon dengan Presiden Russia, Vladimir Putin pada Jumaat lalu, Macron melahirkan kebimbangannya berhubung tanda-tanda penggunaan bom klorin oleh tentera Syria terhadap orang awam baru-baru ini.

Sebelum ini ada banyak laporan tentera Syria menggunakan bom kimia dalam konflik di negara itu dengan banyak gambar menunjukkan orang awam mati atau menghadapi kesukaran bernafas akibat terhidu bahan bertoksik selepas serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 7:20 AM