PENDUDUK kampung berpusu-pusu mengambil minyak yang tertumpah ke dalam parit. - Daily Mail
PENDUDUK kampung berpusu-pusu mengambil minyak yang tertumpah ke dalam parit. - Daily Mail
Agensi

Beijing: Sekumpulan penduduk kampung berebut-rebut membawa balik minyak masak yang tertumpah ke dalam parit kotor selepas sebuah lori tangki terbalik berhampiran kampung mereka.

Rakaman menunjukkan penduduk kampung itu berbaris beramai-ramai sepanjang parit berkenaan sambil membawa baldi dan senduk masing-masing.

Menurut laporan, ia minyak masak yang tumpah dari lori terbabit selepas terbabas dengan beberapa kereta berhampiran Heze, wilayah Shandong.

Akibat kejadian itu, bahagian belakang tangki terbuka lalu minyak masak melimpah keluar ke kawasan parit.

Kemalangan yang berlaku pada 20 Januari lalu dipercayai disebabkan cuaca yang berkabus, menurut Pear Video.

Orang ramai turut terperanjat melihat penduduk kampung berkerumun dengan baldi besar, malah ada yang sanggup datang membawa kenderaan roda tiga bersama beberapa baldi.

Netizen percaya bahawa penduduk kampung mungkin cuba menjual minyak masak itu ke restoran, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap soal kebersihan minyak terbabit.

“Pada pandangan mereka, ini adalah peluang perniagaan yang besar untuk dijual ke restoran, bukan?’ soal pengguna Weibo dengan nama ‘haioulaileba’.

“Minyak ini tiada bezanya dengan yang diambil dari kumbahan!” kata seorang netizen ‘sangedidandan’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 3:39 AM