Yu (kiri) cedera ringan manakala suaminya dirawat di ICU. - Foto SCMP
Yu (kiri) cedera ringan manakala suaminya dirawat di ICU. - Foto SCMP
Agensi

AKIBAT memberi ulasan kurang baik terhadap makanan sebuah restoran, sepasang suami isteri di Changsha, wilayah Hunan, dibelasah hingga terpaksa dimasukkan ke hospital, minggu lalu.

Menurut South China Morning Post yang memetik laporan Changsha Television, si isteri memesan ayam dan daging panggang dari restoran yang menyediakan khidmat penghantaran untuk rakan-rakannya yang datang, Selasa lalu.

Tidak puas hati dengan makanan itu, wanita dikenali sebagai Yu membuat ulasan di laman web restoran berkenaan keesokannya.

Yu menulis: “(Makanan) mahal, tidak dibungkus dengan sempurna dan tidak segar. Saiz makanan sederhana. Saya tidak pernah makan daging panggang yang rasanya seteruk ini.”

Pada sebelah petang, kira-kira tujuh lelaki datang, membawa kayu dan menyerangnya.

Suami wanita itu cuba mempertahankannya ketika mereka cuba menanggalkan baju dan skirt dipakai Yu.

Akibatnya si suami cedera di kepala disyaki menjejaskan otaknya dan terpaksa dirawat di Unit Kawalan Rapi (ICU) manakala penyerang terbabit melarikan diri sebelum polis tiba.

Menurut laporan itu, pemilik restoran berkenaan mengaku kepada polis menghantar orang ke rumah mangsa kerana komen negatif itu menjejaskan perniagaannya.

Si suami dilaporkan stabil di hospital dan polis masih menyiasat kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 6:43 PM