WARREN
WARREN
LATHEM
LATHEM
AFP

Chicago (Amerika Syarikat): Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menahan kakitangan dua universiti terkemuka dalam pembunuhan kejam seorang tukang gunting rambut di Chicago.

Wyndham Lathem, 42, dari Universiti Northwestern, Chicago, dan Andrew Warren, 56, dari Universiti Oxford, England, dalam tahanan polis di Oakland, California, menurut tweet jurucakap polis Chicago, selepas menghilangkan diri selama sembilan hari susulan kejadian itu.

Mereka dinamakan sebagai suspek dalam serangan kejam yang melihat mangsa mati ditikam berulang kali, malah bilah pisau digunakan patah dalam kejadian itu.

Tukang gunting rambut, Trenton Cornell-Duranleau, 26, ditemui mati di sebuah apartmen mewah di Chicago minggu lalu dengan pelbagai kesan tikaman.

Mayatnya tertiarap dengan kesan tikaman pada belakang. Satu pisau ditemui di tepi sinki, manakala bilah pisau kedua ditemui di dalam tong sampah.

Kelmarin, pihak berkuasa berkata, Lathem menghantar mesej video kepada keluarga dan rakannya meminta maaf atas jenayah berkenaan.

Pihak berkuasa tidak menyatakan kaitan antara mangsa dan suspek, atau hubungan mereka.

Lathem adalah penyelidik perubatan serta profesor madya di kampus Chicago Universiti Northwestern, dan berkhidmat di situ sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, Warren dinyatakan sebagai pembantu bendahari kanan di Kolej Somerville Oxford.

Antara persoalan yang menjadi misteri adalah keputusan Warren tiba-tiba meninggalkan Britain untuk lawatan kali pertama seumur hidup ke Chicago pada 24 Julai lalu, lapor Chicago Tribune.

Selain itu, kata akhbar berkenaan, sebuah perpustakaan di negeri jiran, Wisconsin dikatakan menderma AS$1,000 (RM4,300) atas nama mangsa selepas kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 2:45 AM