ZHANG memakan tumbuhan disangka Aloe Vera. FOTO News.com.au
ZHANG memakan tumbuhan disangka Aloe Vera. FOTO News.com.au
news.com.au

VLOGGER di China hampir maut apabila dia secara tidak sengaja memakan tumbuhan beracun yang disangka daun aloe vera ketika penstriman secara langsung.

Wanita berusia 26 tahun yang dikenali dengan nama Zhang, bersiaran bersama ratusan pengikutnya ketika cuba berkongsi manfaat memakan 'daun Aloe Vera' mentah.

“Ini bagus. Yum,” kata Zhang pada awal siaran penstriman itu.

Namun, tidak lama selepas itu, Zhang tahu ada sesuatu yang tidak kena. “Oh, ia pahit. Sangat pahit,” katanya kemudian.

Zhang kemudian terpaksa menghentikan penstriman itu dan berkejar ke hospital apabila mulutnya terasa kebas dan tekaknya seperti terbakar.

Tumbuhan yang dimakan sebenarnya bukan aloe vera tetapi Agave Americana, tumbuhan beracun yang berasal dari Mexico dan menyerupai aloe vera.

Ketika Zhang tiba di hospital, timbul ruam pada kulitnya dan melecet.

Doktor terpaksa mengeluarkan sebahagian tumbuhan beracun itu dari perutnya untuk menyelamatkan nyawa Zhang.

Dia kini dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 12:13 PM