Agensi

Jambi: Seramai 77 banduan yang ditangkap selepas melarikan diri dari sebuah penjara yang padat di sini kini dipindahkan ke penjara lain di Jambi dan Palembang.

Semua banduan itu melarikan diri apabila tembok penjara runtuh akibat banjir yang melanda pada 14 Jun lalu.

“Seramai 59 banduan wanita dan 18 banduan lelaki ditangkap semula selepas melarikan diri ketika banjir,” kata Pejabat Hak Asasi Manusia dan Undang-undang Jambi, Bambang Palasara semalam.

Semua banduan wanita dipindahkan ke penjara wanita Muara Bulian di Batanghari di wilayah Jambi manakala banduan lelaki dihantar ke sebuah penjara di Palembang.

Penjara Jambi dilaporkan hanya mampu menempatkan 300 banduan tetapi kini seramai 1,200 banduan ditempatkan di kemudahan itu.

Bambang memberitahu, sejumlah lagi banduan turut dipindahkan ke beberapa penjara di wilayah berhampiran Jambi.

Keadaan penjara yang usang serta jumlah banduan yang terlalu ramai antara punca utama berlaku rusuhan dan kejadian banduan melarikan diri dari penjara di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 9:10 AM