Bengkulu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) menahan isteri Gabenor Bengkulu, Ridwan Mukti ketika menerima rasuah daripada dua ahli perniagaan.

Lily Martiani Maddari dilaporkan ditangkap di rumahnya semalam, ketika menerima sejumlah wang tunai daripada dua kontraktor berkenaan.

Menurut sumber, satu pasukan pegawai KPK menyerbu kediaman milik Ridwan ketika dua kontraktor berkenaan menyerahkan wang kepada Lily.

Difahamkan, wang itu sebagai bayaran untuk mendapatkan satu projek di Bengkulu.

“Dalam serbuan ini wang suapan berjumlah Rp1 bilion (RM322,275) dirampas,” kata sumber kepada Jawapos.com.

Menurutnya, ketika serbuan Ridwan tiada di rumah kerana menghadiri satu majlis di Bengkulu.

Sementara itu, media tempatan melaporkan, Lily dan semua suspek dibawa ke ibu pejabat KPK untuk disoal siasat.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada KPK berhubung tangkapan ketiga-tiga suspek berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 7:14 AM