Emir Qatar, Sheik Hamad Khalifa al Thani bersama Ratu Elizabeth II. - Foto Fail (Reuters)
Emir Qatar, Sheik Hamad Khalifa al Thani bersama Ratu Elizabeth II. - Foto Fail (Reuters)
AFP

MESIR meminta PBB menyiasat dakwaan Qatar membayar sejumlah besar wang tebusan kepada ‘kumpulan pengganas’ yang dikaitkan dengan Negara Islam (IS) bagi pembebasan beberapa kerabat diraja negara itu yang ditahan di Iraq.

Bercakap ketika perbahasan Majlis Keselamatan mengenai ancaman pengganas, Timbalan Duta Mesir ke PBB, Ihab Moustafa, mendakwa Qatar membayar sehingga AS$1 bilion (RM4.3 bilion) kepada ‘kumpulan pengganas’ yang aktif di Iraq bagi pembebasan beberapa anggota kerabat diraja yang diculik ketika memburu dan ditahan di Iraq.

“Jika terbukti betul, adalah sokongan jelas kepada keganasan,” katanya yang mendakwa kumpulan penculik itu ada kaitan dengan IS.

Beliau tidak mengemukakan bukti namun menyatakan ia disebut pihak media sebelum ini.

“Kami mencadangkan Majlis Keselamatan menyiasat kejadian ini dan kejadian lain yang sama,” kata Ihab.

Mesir bersama Arab Saudi, Bahrain dan UAE memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar mendakwa negara itu menyokong keganasan dan kumpulan pelampau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 8:09 AM