KANAK-KANAK pelarian Rohingya membetulkan bumbung khemah mereka di kem pelarian Cox’s Bazar selepas ia rosak selepas  puting-beliung Mora melanda daerah Bangladesh itu Isnin lalu.  -  AFP
KANAK-KANAK pelarian Rohingya membetulkan bumbung khemah mereka di kem pelarian Cox’s Bazar selepas ia rosak selepas puting-beliung Mora melanda daerah Bangladesh itu Isnin lalu. - AFP
AFP

Cox’s Bazar (Bangladesh): Pekerja bantuan memberi amaran semalam mengenai satu ‘krisis meruncing’ di Bangladesh selepas taufan memusnahkan ribuan rumah dan kem yang menempatkan pelarian Rohingya.

Ribuan penduduk juga tiada tempat berlindung dan bekalan makanan untuk berbuka puasa.

Taufan Mora melanda persisiran pantai Cox’s Bazar kelmarin menyebabkan enam orang maut, merosakkan atau memusnahkan sekurang-kurangnya 17,000 rumah dan menyebabkan 600,000 penduduk terpaksa berpindah.

Antara lokasi paling teruk adalah kem yang menempatkan 300,000 etnik Rohingya yang jumlah mereka bertambah susulan operasi tentera terhadap minoriti itu di Myanmar.

“Terdapat krisis meruncing makanan, perlindungan, perkhidmatan kesihatan dan kemudahan kebersihan di khemah perlindungan susulan taufan berkenaan,” kata Pengarah Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi, Sanjukta Sahany yang menyelaras bantuan di beberapa kem.

Pelarian berkata, mereka tidak diberi amaran rasmi mengenai taufan itu dan tidak mampu menyimpan bekalan makanan apabila ia melanda.

“Tiada pihak datang untuk memberi makanan. Ada yang terpaksa berkongsi cebisan kecil roti bersama empat yang lain untuk berbuka puasa.

“Sistem perparitan dan tandas juga rosak,” kata seorang ketua komuniti, Mohammad Rafique Habib.

Sanjukta memberitahu, beberapa klinik milik agensi bantuan untuk pelarian Rohingya dan penduduk tempatan juga rosak teruk.

Pekerja bantuan bertungkus-lumus menghantar makanan ke kem yang menempatkan kira-kira 300,000 pelarian Rohingya.

Kebanyakan mangsa di kem itu sedang menunggu untuk berbuka puasa ketika taufan melanda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 10:04 AM