MOHAMMAD SHAZNI menonton wayang bersama komuniti TUC.
MOHAMMAD SHAZNI menonton wayang bersama komuniti TUC.
Redzuan Muharam


Bermula dengan hobi akhirnya mendorong Mohammad Shazni Abdul Ghani, 32, menjadi pembuat kostum sepenuh masa sejak lima tahun lalu.

Selain kepuasan, kemahiran menghasilkan kostum itu juga membolehkannya meraih pendapatan di antara RM600 hingga RM6,000 bagi setiap set yang dihasilkan.

Menurut Mohammad Shazni, kaedah menghasilkan kostum itu dipelajarinya sendiri menerusi tutorial di YouTube dan ketika menuntut dalam jurusan Reka Bentuk Perindustrian di Lim Kok Wing University.

“Sebelum menjadi pembuat kostum sepenuh masa, saya terlebih dulu bekerja sebagai instruktor Hip Hop di Lim Kok Wing University dan pembangun laman web bebas.

“Namun, minat menghasilkan sendiri kostum menyebabkan timbulnya niat untuk serius sebagai pemain cosplay dan pembuat persalinan itu sepenuh masa.

“Lagipun, harga kostum di kedai agak mahal, jadi saya rasa lebih baik menghasilkannya sendiri (DIY) kerana boleh dijual kepada mereka yang berminat,” katanya.

Mohammad Shazni berkata, sut kostum yang dihasilkannya adalah daripada watak adiwira terkenal antaranya The Flash, Ant Man, Mandalorian, Iron Spider, The Shedder dan terkini, Iron Man.

Katanya, sut berkenaan mengambil masa antara dua hingga tiga bulan untuk disiapkan bergantung kepada material yang digunakan.

“Sut kostum berkenaan dihasilkan menggunakan bahan tertentu misalnya Iron Man dengan pembalut vinyl yang biasanya digunakan pada pembuatan kenderaan supaya tahan lama dan memberi kemasan terbaik berbanding cat.

“Ia sudah siap dan ada yang berminat untuk membelinya tetapi saya belum bersedia untuk menjualnya kepada sesiapa walaupun boleh mendapat pulangan anggaran sehingga RM8,000.

“Biarlah ia menjadi koleksi peribadi buat masa ini kerana bagi saya, ia cukup istimewa dan puas kerana dapat menghasilkannya,” katanya yang menjadikan Facebook (FB), Instagram (IG) dan saluran YouTube, Klones Network sebagai medium untuk berhubung dengan pengikut.

Dalam kesibukan mengambil tempahan menghasilkan kostum, Mohammad Shazni turut meluangkan masanya dalam aktiviti anjuran komuniti ‘The Ultimate Cosplayers (TUC)’.

Katanya, penyertaan dalam komuniti berkenaan salah satu caranya untuk berkongsi minat dan idea dengan ahli lain yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Kebiasaannya, kami akan berkumpul ketika menonton filem terbaru Marvel atau makan bersama pada hujung minggu.

“Selebihnya kami berhubung menerusi media sosial atau aktiviti membabitkan pemain cosplay di seluruh negara.

“Jadi, tidak timbul soal sia-sia kerana disamping menambah pendapatan, saya dapat mencari kenalan baru menerusi hobi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 6:42 AM