ANTARA koleksi mainan mini yang dikumpulnya.
ANTARA koleksi mainan mini yang dikumpulnya.
Redzuan Muharam

Jika individu lain menggemari patung atau figura bersaiz besar, lain pula dengan Siti Nurnajihah Zakaria, 21, yang lebih cenderung mengumpul mainan mini.

Baginya, mainan itu comel dan mempunyai tarikan tersendiri walaupun rumit untuk disimpan kerana saiznya yang terlalu kecil.

Berkongsi lanjut mengenai hobinya itu, Siti Nurnajihah berkata, minat mengumpul mainan mini bermula sejak berumur dua tahun dan berterusan disebabkan keinginan untuk menambah koleksi peribadi.

“Seperti kanak-kanak lain, saya juga sukakan mainan cuma lebih kepada saiz mini berbanding besar dan seingat saya, koleksi pertama adalah Hello Kitty yang diperoleh percuma selepas membeli aiskrim.

“Bermula daripada situ, timbul minat untuk mengumpul dan mujurlah keluarga memahami, malah merekalah yang suka menghadiahkan mainan itu kepada saya dulu.

“Lagipun, bukan saja saya tetapi abang dan adik turut berkongsi minat sama jadi ia lebih menyeronokkan terutama apabila kami bertiga tinggal bersama,” katanya yang kini bertugas sebagai tutor sambilan di sebuah pusat tuisyen.

SITI Nurnajihah bersama koleksi mainan mini kepunyaannya.
SITI Nurnajihah bersama koleksi mainan mini kepunyaannya.

Gadis kelahiran Sarawak ini berkata, sehingga kini, dia sudah mengumpul lebih 100 mainan mini terdiri daripada pelbagai jenis dan bentuk.

Katanya, jika bukan di kedai, mainan itu dibelinya secara dalam talian dengan harga anggaran RM20 hingga RM150 dan antara koleksi kesayangannya adalah set maskot Colonel Sanders yang dibeli di restoran KFC.

“Dalam seminggu, kira-kira dua hingga tiga kali juga saya ke kedai alat tulis untuk membeli mainan ini.

“Sekiranya tidak berkesempatan, saya akan menempahnya di portal jual beli dalam talian atau membelinya daripada pengumpul yang menjual di laman sosial mereka.

“Kebiasaannya, harga untuk set mainan lebih mahal tetapi tidak semuanya begitu kerana sebahagiannya boleh dibeli dengan cara tawar-menawar,” katanya.

Menurut Siti Nurnajihah, sebahagian besar koleksinya itu disimpan di rak namun ada juga yang diletak di dalam kotak.

“Saya boleh katakan, penjagaan mainan mini ini rumit kerana jika cuai, ia boleh hilang dan sukar mendapatkannya semula lebih-lebih bagi edisi terhad.

“Sebab itu, ketelitian amat penting dan lebih selamat jika ia diletakkan di dalam satu ruang simpanan khas.

“Itu bergantung kepada pengumpul dan selain menyimpan di rak dan kotak, saya sendiri cuba mempelbagaikan ruang simpanan antaranya dengan menyediakan rumah untuk set mainan Hello Kitty,” katanya.

ANTARA koleksi mainan mini yang dikumpulnya.
ANTARA koleksi mainan mini yang dikumpulnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 2:44 AM