DARI kiri Azham, Ceri, Ali dan Asmawi.
DARI kiri Azham, Ceri, Ali dan Asmawi.
Shuhada Mansor


Terinspirasi daripada filem lama arahan Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, empat anak muda yang menamakan kumpulan mereka Masdo yakin dunia muzik indie di Malaysia tetap meriah.

Pemain bass Masdo, Ceri berkata, walaupun satu ketika dulu muzik indie dilihat tenggelam dan suram, namun kini ia kembali mendapat sambutan hangat.

Masdo yang baru selesai mengadakan siri jelajah di lima negeri di Semenanjung menganggap karya baru dan segar mampu mengembalikan zaman kegemilangan band indie tempatan seperti gelombang Meet Uncle Husin dan Hujan satu ketika dulu.

Malam Pesta Rock And Roll

Sambutan hangat yang diterima dalam siri jelajah mereka dinamakan ‘Malam Pesta Rock And Roll’ membuktikan pengikut setia muzik indie tetap setia menyokong kumpulan muzik tempatan.

Masdo yang dalam usaha mempromosikan album terbaru berjudul Selamat Tinggal Pujaan tidak menyangka genre pop klasik yang diperjuangkan mereka ada peminat tersendiri.

“Tujuan jelajah ini adalah kerana kami baru saja melancarkan album pertama memuatkan lapan lagu. Jadi ia sebagai hadiah untuk penyokong setia yang tetap ada sejak awal penubuhan Masdo pada 2015.

“Alhamdulillah, walaupun kali pertama, tak sangka sambutan penonton sangat memberangsangkan malah album kami terjual lebih 2,000 unit dalam tempoh sebulan persembahan yang bermula di Ipoh (14 Oktober), Kuala Lumpur, Melaka, Kuantan dan berakhir di Johor Bahru (18 November),” kata Azham

MASDO  dalam satu persembahan.
MASDO dalam satu persembahan.

Ambil aura 60-an dan pop masa kini

Seiring dengan namanya, Masdo memperjuangkan genre pop klasik dengan mengambil aura lagu Melayu era 60-an digabung dengan pop masa kini.

Lagu tercipta hasil daripada kombinasi empat anak muda iaitu Azham Ahmad (dram), Putu Ceri (bass/vokal), Asmawi (gitar/vokal), Ali Sariah (vokal utama/gitar).

Ali berkata, walaupun ada pelbagai genre berbeza, eksperimentasi Masdo dengan karya yang mempunyai identiti sendiri berjaya menarik minat orang untuk mendengar.

“Disebabkan ini kali pertama dan boleh dikatakan kumpulan kami masih baru, ternyata sambutan diterima agak ‘gila’. Contohnya tiket habis dijual di Ipoh dan penonton sanggup bersesak dan ‘bersauna’ bersama kami kerana tempat persembahan cuma mampu memuatkan 400 orang. Mereka bertahan hingga habis persembahan,” kata Ceri.

Disokong geng Pak Maon

Setiap kumpulan muzik mempunyai pengikut setia tersendiri begitu juga Masdo. Dari cara berpakaian, identiti dalam persembahan, tidak mustahil karya muzik mereka senang diterima ramai.

Tidak terkecuali Masdo yang turut mempunyai pengikut setia sejak awal perjuangan mereka.

Menamakan diri mereka Geng Pak Maon atau Geng Bentara Guru, kepuasan untuk berdansa dan menyanyi bersama Masdo adalah satu kegembiraan cara tersendiri walau dalam suasana apa sekali pun.

“Kami bersyukur ada pengikut tersendiri. Peminat yang tidak putus-putus menyokong dan ia dibuktikan dengan siri jelajah yang kami kira berjaya untuk pertama kalinya. Pasti ada cabaran dalam setiap kumpulan, tapi Masdo akan cuba sedaya upaya mempertahankan dan terus berkarya selagi diterima. Tetap bersama-sama memeriahkan dunia indie kita,” kata Asmawi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 9:16 AM