LADANG kelapa sawit di Kampung Felda Gedangsa yang sesuai dijadikan trek dan perlumbaan MTB. FOTO Fadzley Abd Hamid
LADANG kelapa sawit di Kampung Felda Gedangsa yang sesuai dijadikan trek dan perlumbaan MTB. FOTO Fadzley Abd Hamid
Hafiz Ithnin

Kawasan Felda sinonim dengan aktiviti pertanian dan menjadi penyumbang utama kepada industri perladangan yang mempunyai komuniti besar dalam negara.

Aktiviti masyarakat setempat menjadi agenda penting bagi membantu menambah nilai dalam gaya hidup yang lebih baik bagi penduduk yang rata-rata sibuk dengan kerja perladangan.

Baru-baru ini Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Selangor dengan Persatuan Belia (MBFM) Felda Gedangsa, kali ketiga menganjurkan kejohanan berbasikal berbasikal gunung (MTB), Felda Gedangsa MTB Eco Challenge 3.0 di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu.

Menariknya acara yang dijayakan 500 peserta itu bukan saja menjadi buruan peminat aktiviti MTB untuk menonjolkan prestasi berbasikal masing-masing, malah memberi kesan yang positif kepada penduduk setempat.

Berkongsi mengenai acara itu, pengarah program Arifin Lyeeni berkata, dalam cabaran kali ini peserta perlu menamatkan kayuhan sejauh 38 kilometer (km) membabitkan laluan pendek di kawasan kampung dan selebihnya menempuh laluan denai.

Menurutnya, sepanjang 36km berkayuh di kawasan denai, peserta perlu menempuhi cabaran berbukit, merentas anak sungai dan laluan trek tunggal yang menjadi idaman mereka yang gemarkan aktiviti MTB.

PESERTA berdoa sebelum memulakan kayuhan. FOTO Fadzley Abd Hamid
PESERTA berdoa sebelum memulakan kayuhan. FOTO Fadzley Abd Hamid

“Lebih mencabar pastinya keadaan hujan ketika acara ini berlangsung menjadikan laluan lebih licin dan memerlukan setiap peserta perlu bijak mengendalikan basikal masing-masing untuk menempuhi kawasan berbukit dan laluan denai yang lecak.

“Meskipun wujud pelbagai cabaran semasa acara ini berlangsung tetapi kami mendapat maklum balas positif daripada peserta kerana cabaran di laluan denai memang dicari-cari peminat MTB dapat dirasai sepanjang melalui trek perlumbaan,” katanya.

Acara itu yang menawarkan hadiah keseluruhan RM25,000 dipecahkan kepada tujuh kategori iaitu wanita dan 13 tahun ke atas, junior, lelaki terbuka (usia 20 hingga 34), lelaki senior (35 hingga 44), lelaki vateran (45 tahun dan ke atas), ‘heavyweight’ dan ‘fat bike’.

Katanya, sejak acara itu dianjurkan pada 2017, penyertaan wanita juga memberangsangkan dengan sejumlah 30 wanita menyertainya pada tahun ini, sekali gus menunjukkan sukan MTB tempatan mendapat tempat dalam hati wanita Malaysia.

“Meskipun aktiviti berbasikal MTB sinonim dengan kayuhan yang mencabar dan memerlukan ketangkasan berbasikal tetapi wanita turut mengambil kesempatan mencabar kemampuan masing-masing untuk beraksi di trek perlumbaan.

“Perkara ini turut menunjukkan wanita Malaysia semakin berani menyertai acara berbasikal yang biasanya didominasi golongan lelaki dan mereka juga mampu beraksi dengan baik dan berdepan pelbagai cabaran ketika perlumbaan,” katanya.

AKSI peserta yang terpaksa melalui kawasan cerun ketika bersaing. FOTO Fadzley Abd Hamid
AKSI peserta yang terpaksa melalui kawasan cerun ketika bersaing. FOTO Fadzley Abd Hamid

Arifin berkata, acara itu juga bertujuan mempromosikan Felda Gedangsa sebagai destinasi aktiviti sukan dan rekreasi kepada masyarakat luar dan memberi peluang kepada penduduk setempat untuk menambah hasil pendapatan masing-masing dengan menyewakan kediaman untuk peserta.

“Meskipun Felda Gedangsa adalah kawasan ladang kelapa sawit tetapi di sini tersedia trek berbasikal MTB yang boleh digunakan oleh peminat untuk beraksi.

“Jadi acara seperti ini dapat mempromosikan kawasan berkenaan untuk aktiviti rekreasi dan sukan lasak.

“Selain itu, kejohanan seperti ini mempromosikan Kampung Felda Gedangsa sebagai destinasi pelancongan eko kepada masyarakat luar.

“Dalam acara ini juga kami turut menyediakan makanan hasil masakan kampung daripada penduduk setempat,” katanya.

PEMENANG pelbagai kategori lelaki merakam gambar bersama June Leow (barisan belakang, enam dari kiri). FOTO Fadzley Abd Hamid
PEMENANG pelbagai kategori lelaki merakam gambar bersama June Leow (barisan belakang, enam dari kiri). FOTO Fadzley Abd Hamid

Acara sampingan yang diadakan semasa acara itu berlangsung termasuk supa dupa air diselia oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Felda Gedangsa, pameran pelancongan, produk kesihatan dan jualan makanan kampung.

Acara itu turut dihadiri Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui yang berharap acara berkenaan dianjurkan setiap tahun memandangkan ia mampu memberi kesan positif kepada banyak pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 7:00 AM