AHLI kelab PESCA bergambar kenangan bersama komuniti Orang Asli. FOTO Faiz Anuar
AHLI kelab PESCA bergambar kenangan bersama komuniti Orang Asli. FOTO Faiz Anuar
Zaitie Satibi

Ada pelbagai cara boleh dilakukan untuk beramal bagi membantu mereka yang memerlukan.

Lazimnya diadakan majlis makan malam dengan kehadiran selebriti yang menjadi pilihan, tetapi bagi PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mereka memilih untuk berbasikal sambil beramal.

Seramai 30 ahli Kelab Sukan dan Rekreasi PREC (PESCA) mengayuh sejauh enam kilometer bagi menyalurkan sumbangan kepada anak-anak komuniti Orang Asli termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah di Kampung Orang Asli Air Kuning Bukit Bandaraya, Shah Alam, baru-baru ini.

Program kayuhan amal itu pertama kali dianjurkan kelab berkenaan bertujuan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan, selain menyemai semangat kesukanan, kerjasama dan rasa syukur dalam kalangan ahli kelab.

Acara pelepasan disempurnakan Pengurus Besar Pengurusan Fasiliti dan Hartanah PREC, Yusri Abdul Manaf. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani, yang turut menyertai kayuhan berkenaan bermula dari SACC Mall, Seksyen 14, Shah Alam.

KAYUHAN amal PESCA menuju Kampung Orang Asli Air Kuning Bukit Bandaraya bagi menyampaikan sumbangan. FOTO Faiz Anuar
KAYUHAN amal PESCA menuju Kampung Orang Asli Air Kuning Bukit Bandaraya bagi menyampaikan sumbangan. FOTO Faiz Anuar

Pengerusi PESCA, Syahril Mohd Rashid berkata, kelab sentiasa proaktif dalam menganjurkan aktiviti sukan seperti berakit, mendaki gunung, ATV, futsal, badminton, pingpong termasuk pembabitan dalam kejohanan sukan olahraga anjuran Kelab Sukan PKNS.

“Aktiviti berbasikal ini tidak dapat dinafikan adalah antara aktiviti yang dinanti-nantikan oleh ahli bagi menguji ketahanan fizikal dan mental di samping beriadah bersama ahli PESCA yang lain.

“Namun, dalam pada menjalani aktiviti sukan dan riadah, PESCA juga menitikberatkan hal ehwal berkaitan kebajikan. Inisiatif tanggungjawab sosial korporat seperti ini dapat memberi pengisian yang baik buat ahli PESCA di samping meringankan beban masyarakat kurang berkemampuan,” katanya.

AHLI kelab beramah mesra dengan penduduk Orang Asli. FOTO Faiz Anuar
AHLI kelab beramah mesra dengan penduduk Orang Asli. FOTO Faiz Anuar

Komuniti Orang Asli berkenaan menerima sumbangan berjumlah RM26,000 yang juga sebahagian daripada peruntukan zakat tahunan PREC. Sebanyak RM22,000 diberikan secara tunai kepada 55 keluarga untuk perbelanjaan harian, manakala RM4,000 lagi diberikan dalam bentuk kelengkapan sekolah untuk anak-anak Orang Asli seawal usia empat tahun.

“Program ini adalah satu usaha kami memberikan bantuan kepada anak-anak Orang Asli yang memulakan sesi persekolahan seperti pakaian seragam sekolah dan alat tulis.

“Program sebegini akan berterusan dari semasa ke semasa dan kami akan melawat kawasan yang memerlukan bantuan dan setakat ini sudah melawat dan membantu di kira-kira 50 kawasan di sekitar Selangor,” katanya.

SUMBANGAN wang tunai diserahkan Fakru Radzi kepada Tok Batin Kampung Orang Asli Air Kuning, Kamal Bapak. FOTO Faiz Anuar
SUMBANGAN wang tunai diserahkan Fakru Radzi kepada Tok Batin Kampung Orang Asli Air Kuning, Kamal Bapak. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 6:02 AM