Umie Aishah Ahmat Suhaimi

Sebut saja New Zealand pasti terbayang betapa indahnya negara itu dengan keadaan muka bumi luas dan gunungganang yang memukau pandangan. Selepas membuat perancangan selama lapan bulan, akhirnya hari yang ditunggu pun tiba.

Penulis bersama rakan berangkat ke New Zealand pada 8 November lalu. Penerbangan mengambil masa 14 jam, termasuk transit di Gold Coast selama tiga jam.

Lebih kurang pada jam 6 petang kami selamat tiba di Auckland. Selepas makan malam, tanpa membuang masa kami terus ke stesen bas untuk ke motel yang sudah ditempah awal. Kami bermalam di Kiwi Airport Backpackers Motel.

Kami bangun seawal jam 4pagi keesokan harinya. Selesai bersarapan kami menunggu shuttle untuk ke Lapangan Terbang Auckland untuk ke Christchurch.

Penerbangan ke Christchurch mengambil masa lebih kurang dua setengah jam.

Kami tiba di Christchurch sekitar jam 8 pagi. Tidak melengahkan masa, kami terus ke bahagian kereta sewa untuk mengambil kereta. Cuaca sejuk mula terasa. Kami pula tidak memakai baju sejuk kerana menyangka musim bunga yang akan tiba memandangkan kami memang merancang untuk pergi pada musim bunga. Namun begitu, kami tetap meneruskan perjalanan.

Sebelum menuju ke Tasik Tekapo, kami sempat berjalan-jalan di sekitar bandar Christchurch, merasai kesibukannya dan bergambar di beberapa tempat menarik seperti Muzium Canterbury dan Fairlie. Ketika sibuk bergambar, kami dihadiahkan dengan hujan yang lebat. Syukur, hujan rahmat dan dalam cuaca yang basah itu kami memanaskan badan sambil membeli sedikit bahan makanan di kedai Pakā€™nSave sebagai persediaan untuk memasak.

Perjalanan ke Tasik Tekapo mengambil masa tiga jam. Di sepanjang perjalanan mata kami dijamu pemandangan yang sangat cantik dan sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata perasaan kami kala menikmati hebatnya anugerah Allah kepada manusia ini.

PEMANDANGAN memukau di Glenorchy, Dunedin.
PEMANDANGAN memukau di Glenorchy, Dunedin.

Ada beberapa tempat yang sudah diseliputi salji. Tidak puas menatap pemandangan di kiri dan kanan jalan yang umpama hamparan salji. Kami sungguh teruja hinggakan hampir setiap tempat kami berhenti untuk mengambil gambar kenangan!

Perasaan teruja kami semakin menebal ketika tiba di Tasik Tekapo. Walaupun hampir lewat petang namun keindahan tasik dan kawasan sekitarnya yang dipenuhi bunga Lupin membuatkan kami tidak sabar untuk mengambil gambar. Kami bermalam di Lake Tekapo Motels & Holiday Park.

PENULIS bergambar di Church of Good Shepherd di Lake Tekapo
PENULIS bergambar di Church of Good Shepherd di Lake Tekapo

Pada hari ketiga kami menuju ke Lembah Hooker di Gunung Cook. Pemandangan di sepanjang jalan dari Tasik Tekapo ke Gunung Cook amat memukau. Walaupun cuaca panas ketika itu, namun masih ada salji di puncak Gunung Cook. Sisa-sisa salji di atas gunung membuatkan gunung di sana sangat cantik. Suhu juga sejuk pada ketika itu.

GUNUNG-GANANG masih diseliputi salji
GUNUNG-GANANG masih diseliputi salji

Seterusnya kami menuju ke Tasik Wanaka. Atas kekangan masa, kami singgah sekejap saja di situ untuk meneruskan aktiviti mengambil gambar. Paling istimewa, kami sempat merakam gambar sebatang pokok di tengah-tengah tasik yang dikatakan simbolik kepada Tasik Wanaka. Puas berada di situ, kami meneruskan perjalanan menuju ke Dunedin.

THAT Wanaka Tree yang menjadi simbol kepada Lake Wanaka.
THAT Wanaka Tree yang menjadi simbol kepada Lake Wanaka.

Bermalam di istana lama

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika kami memandu ke Dunedine menuju ke Istana Larnach pada waktu malam yang gelap. Silap kami tidak berangkat lebih awal ketika berada di Tasik Wanaka kerana leka mengambil gambar. Akibatnya kami terpaksa meredah perjalanan selama lima jam iaitu dari jam 6 hingga 11 malam.

Sekitar jam 11 malam baru kami tiba di kawasan istana. Perasaan takut menyelubungi kami kerana kawasan berkenaan amat sunyi dan gelap ditambah pula kami pernah terbaca coretan yang mengatakan istana lama itu berhantu. Kami mempercepatkan langkah dan berasa lega apabila didatangi pekerja di situ yang peramah. Hilang ketakutan yang membelenggu hati.

Kami bermalam di Larnach Lodge di Istana Larnach untuk merasai pengalaman tidur di istana lama. Keesokan hari kami berkesempatan masuk ke dalam istana untuk melihat sejarahnya dan merakam beberapa monumen lama.

Dari situ kami menuju ke Pantai Tunnel untuk melihat keindahan laut. Ada terowong kecil yang menghubungkan laluan dari bukit ke kawasan pesisir laut.

PEMANDANGAN dari luar Istana Larnach Lodge.
PEMANDANGAN dari luar Istana Larnach Lodge.

Tanpa melengahkan masa, kami bergegas menuju ke Dunedin. Seperti pelancong lain, kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar di stesen kereta api popular di sana iaitu Dunedin Railways.

Te Anau menjadi destinasi kami yang seterusnya. Seperti tempat-tempat lain, pemandangan di sepanjang jalan ke Te Anau juga cantik dengan suasana kampung dan kambing biri-biri di sekitar kawasan pergunungan. Kami bermalam di Taman Te Anau Lake View Holiday.

DUNEDIN Railways stesen kereta api popular di Dunedin.
DUNEDIN Railways stesen kereta api popular di Dunedin.

Keesokan hari kami bergerak awal untuk ke Milford Sound yang mengambil masa dua jam dari Te Anau. Di Milford Sound kami menaiki cruise yang sudah ditempah awal. Kami juga dihidangkan makanan semasa berada di dalam kapal. Penumpang dinasihatkan untuk tiba lebih awal agar tidak terlepas menaiki cruise.

Usai menikmati keindahan alam dan air terjun di Milford Sound, kami menuju ke Queenstown. Antara tempat yang kami lawati ialah Glenorchy, Tasik Wakatipu dan Alexandra. Kami sempat membeli sedikit cenderahati di DF Souveniers. Kami bermalam di Queenstown selama sehari.

MENIKMATI keindahan gunung dan air terjun di Milford Sound menaiki kapal.
MENIKMATI keindahan gunung dan air terjun di Milford Sound menaiki kapal.

Pada hari keenam, sekitar jam 11 pagi kami ke Apex Car Rentals untuk memulangkan kereta dan terus menuju ke lapangan terbang untuk kembali ke Auckland. Sampai di Auckland kami mengambil peluang untuk merasai pengalaman bermalam di dalam campervan. Suasana di dalam campervan sangat nyaman dengan udara segar dari luar tingkap. Tetapi suasana malam sejuk. Banyak peristiwa lucu yang kami lalui sepanjang percutian kali ini. Paling lucu ketika kami tidak tahu bagaimana hendak mengepam tandas hingga terpaksa memanggil tuan rumah. Itu adalah saat yang tidak dapat penulis lupakan.

Hari ketujuh, selepas mengucapkan selamat tinggal kepada tuan rumah, kami memandu ke Hobbiton. Tempat yang paling tidak sabar untuk dilawati. Kami menuju ke perkampungan Hobbit dengan menaiki bas. Semasa di dalam bas, kami diberi penerangan mengenai Kampung Hobbitton dan ditayangkan filem Hobbit. Di sana kami dibawa oleh seorang petugas.

ANTARA rumah Hobbit di Hobbiton.
ANTARA rumah Hobbit di Hobbiton.

Tidak tergambar betapa cantiknya perkampungan Hobbit seperti yang digambarkan di dalam filem. Rumah-rumah kecil di situ amat comel dan berwarnawarni membuatkan kami tidak berhenti bergambar. Kami juga diberi peluang untuk masuk ke dalam rumah Hobbit dan dihidangkan air halia.

Selepas lebih dua jam di Hobbiton, kami melawat beberapa tempat di sekitar Auckland dan merakam gambar di sana sebelum bergerak menuju ke Lapangan Terbang Auckland.

Pada jam 5 pagi kami selamat tiba di Malaysia. Ternyata saat indah di New Zealand tidak dapat penulis lupakan. Penulis bercadang untuk kembali lagi ke sana satu hari nanti kerana masih ada beberapa lagi tempat yang belum sempat diteroka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 9:06 AM