KAPAL Shang Ri La membawa media Malaysia belayar di perairan Seogwipo Jungmun.
KAPAL Shang Ri La membawa media Malaysia belayar di perairan Seogwipo Jungmun.
Yusmizal Dolah Aling

Sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan penulis terpandang robot sedang ‘bersiar-siar’ di dalam terminal.

Kehadiran robot kecil itu memang menarik perhatian orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu.

Bila didekati, ternyata ia adalah kaunter maklumat bergerak yang boleh memberikan apa saja informasi khususnya kepada pelancong yang baru tiba di Seoul, hanya perlu taip apa yang ingin dicari dan ia akan memberikan maklum balas dalam masa beberapa saat.

Sebenarnya ia adalah permulaan rasa teruja rombongan media Malaysia dalam program lawatan syarikat elektronik terkemuka, LG bagi memperkenalkan beberapa produk pintar yang sudah pun digunakan secara meluas di negara itu.

ROBOT mudahkan perjalanan pelancong sebaik tiba di lapangan terbang Incheon.
ROBOT mudahkan perjalanan pelancong sebaik tiba di lapangan terbang Incheon.

Sepanjang perjalanan menuju ke hotel di tengah bandar Seoul, penulis terpana dengan kemajuan negara itu, yang dikelilingi bangunan pencakar langit pelbagai bentuk mengagumkan dan kebersihan segenap kawasan menjadikan ia sangat selesa untuk dikunjungi.

Sikap santun pemandu pelancong antara menjadi perbualan kami, pengamal media yang sebelum ini pernah mengikuti pelbagai rombongan untuk menyiapkan tugasan.

Buat pemandu pelancong itu penulis berikan markah penuh kerana dedikasinya memenuhi setiap permintaan, termasuk menunaikan solat.

Sejak awal lagi diberitahu dalam rombongan itu terdapat lima wartawan beragama Islam yang perlu masa untuk menunaikan solat dan ia menjadi agenda Sophea Choi Jiyoung memastikan kewajipan itu disempurnakan serta ada tempat solat disediakan walaupun di ruang makan restoran.

RUANG solat di sebuah restoran yang disediakan khusus untuk pelancong Muslim.
RUANG solat di sebuah restoran yang disediakan khusus untuk pelancong Muslim.

Penulis kagum melihat kesungguhannya meminta ruang diberikan kepada rombongan di sebuah restoran di Plaza Cheonggye, siap berhadangan supaya kami dapat bersolat dengan selesa selepas menikmati hidangan yang disediakan.

Seboleh-bolehnya dia mahu memastikan soal solat diselesaikan terlebih dulu walaupun terpaksa memendekkan masa lawatan di beberapa lokasi.

Begitu hormatnya dia dan beberapa orang lagi kepada wartawan Muslim dan menunggu kami selesai menunaikan kewajipan.

Bila ditanya, dengan ringkas dia menjawab ‘tidak mengapa, semua orang ada tanggungjawab’.

Ketika di dalam bas menuju ke destinasi lawatan, mata penulis tertarik kepada 31 jambatan besar merentasi Sungai Han yang menghubungi dua bahagian di Seoul yang dibina dengan reka bentuk menarik, menjadi penghubung penting bagi penduduk di bandar itu.

SATU daripada 31 jambatan besar merentasi Sungai Han di Seoul.
SATU daripada 31 jambatan besar merentasi Sungai Han di Seoul.

Mengakhiri lawatan hari pertama, kami dibawa melihat khazanah negara itu, Istana Gyeongbok terletak di sebelah utara Seoul - satu daripada lima istana besar dan dibangunkan pada zaman Dinasti Joseon.

Ternyata ratusan pelawat tidak melepaskan peluang bergambar dengan bangunan yang pernah menjadi sasaran ketika Perang Korea malah ada yang memakai pakaian tradisional bagi mengembalikan suasana sebenar di sekitar istana itu.

Selain Seoul, rombongan juga dibawa melihat kawasan industri di Changwon yang mengambil masa satu jam penerbangan, kawasan yang menjadi bukti betapa Korea mempunyai banyak syarikat gergasi dan peneraju pelbagai industri terkemuka di dunia.

AIR Terjun Jeongbang.
AIR Terjun Jeongbang.

Di kiri dan kanan jalan, terdapat pelbagai kilang pemprosesan dan pembuatan yang berdiri megah sesuai dengan status negara itu yang dikenali sebagai pengeluar barangan elektronik terbaik serantau.

Melihat disiplin pekerja negara itu walaupun terpaksa beratur panjang untuk pemeriksaan keselamatan mengingatkan penulis betapa mereka begitu menyayangi pekerjaan masing-masing dan akan melakukan yang terbaik demi kerjaya sendiri.

Kata orang, tidak lengkap lawatan atau percutian ke Korea jika tidak menjengah Pulau Jeju, yang mempunyai banyak tarikan seperti air terjun Jeongbang, Puncak Seongsan Ilchulbong yang muncul di permukaan lautan akibat letusan gunung berapi lebih 100,000 tahun yang lampau.

ANTARA lokasi pemandangan indah di Jeju.
ANTARA lokasi pemandangan indah di Jeju.

Rombongan juga dapat merasai pelayaran kapal selama satu jam di perairan Seogwipo Jungmun, merakam suasana matahari terbenam sambil menikmati udara segar dan mengharungi samudera tenang sehingga hari gelap, pengalaman begitu menyeronokkan bagi mereka yang ingin berehat daripada kesibukan kerja.

SUASANA sebelum matahari terbenam yang sempat dirakamkan di atas kapal.
SUASANA sebelum matahari terbenam yang sempat dirakamkan di atas kapal.

Berada di beberapa lokasi di Korea Selatan, seolah-olah menghabiskan penggambaran di beberapa set, kerana semua tempat yang dilawati sangat bersih, indah dan selamat. Ucapan khamsa hamnida bersama senyuman pasti menggamit penulis untuk datang lagi ke sana, menikmati percutian berkualiti bersama keluarga pula.

PENULIS (dua dari kanan) bersama media Malaysia bergambar kenangan di Air Terjun Jeongbang.
PENULIS (dua dari kanan) bersama media Malaysia bergambar kenangan di Air Terjun Jeongbang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 8:05 AM