PEMANDANGAN indah yang menggamit pandangan anda sebaik melewati Yehliu Geopark.
PEMANDANGAN indah yang menggamit pandangan anda sebaik melewati Yehliu Geopark.
Hartini Mohd Nawi


BERADA di sebuah tanjung kecil berkeluasan 1.7 kilometer panjang dan 300 meter lebar di tapak warisan geologi ini, hakikatnya menyingkap seribu satu keunikan sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Terbayang daripada namanya, Yehliu Geopark, Taiwan antara tarikan utama pencinta alam semula jadi yang sangat sinonim dengan landskap hakisan lautnya.

Yehliu Geopark dikendalikan pentadbiran North Coast and Guanyinshan National Scenic Area. Tidak hanya pemandangannya indah, pantai berbatu ini menjanjikan lebih daripada itu yakni geologinya yang diakui antara paling unik di dunia.

Ia dikatakan terhasil daripada hakisan gelombang ombak laut, lekukan batu-batuan dan pergerakan bumi hingga menyumbang kepada pembentukan landskap geologi yang jarang sekali ditemui di tempat lain. Saujana mata memandang, sejumlah formasi batu diberi nama imaginatifnya berdasarkan bentuk terhasil.

Tarikannya juga terletak pada batuan yang terbentuk seperti kepala ratu atau dinamakan Queen’s Head. Elemen itu juga bagaikan mercu tanda atau identiti Yehliu Geopark.

Ini kerana sesiapa saja yang berkunjung ke situ, pasti tidak melepaskan peluang merakam gambar berlatarkan Queen’s Head berkenaan. Seolah-olah jika ada gambar di sisi Queen’s Head bermakna ia bukti anda sudah sampai atau pernah menjejakkan kaki ke Yehliu Geopark.

ANTARA batu-batuan yang terbentuk.
ANTARA batu-batuan yang terbentuk.

YEHLIU Geopark singkap seribu satu cerita keindahan.
YEHLIU Geopark singkap seribu satu cerita keindahan.

Namun, anda perlu mengikuti beberapa peraturan yang ditetapkan termasuk beratur jika ingin merakam gambar bersama Queen’s Head. Ia bagi menjamin keselamatan anda sebagai pengunjung memandangkan bentuk muka bumi sedikit mencabar.

Pada masa sama, ia juga membawa perlambangan tidak rasmi bandar Wanli. Pembentukan lain termasuk dinamakan Fairy Shoe, Beehive, The Ginger Rocks dan Sea Candles.

Yehliu Geopark, New Taipei City ini juga dibahagikan kepada tiga kawasan. Kawasan pertama mengandungi batu berbentuk cendawan dan halia. Kawasan kedua pun tidak jauh beza di mana batu cendawan dan halia menjadi tumpuan utama, namun sedikit bilangannya. Di sinilah anda dapat lihat keunikan batuan Queen’s Head dan Fairy Shoes. Malah, anda berpeluang melihat beberapa lapisan batuan yang terbentuk akibat terkena air laut.

Kawasan ketiga pula dilihat sebagai platform gelombang yang terletak di seberang Yehliu. Kawasan ini lebih sempit berbanding kawasan kedua iaitu satu sisi platform bersebelahan dengan tebing yang curam.

Beberapa bentuk dan saiz batuan yang mengagumkan dapat anda saksikan akibat hakisan laut di kawasan itu. Antara batuan yang dapat ditemui di situ termasuk dinamakan Rock Bird Marine. Uniknya, kawasan ketiga itu termasuk rizab ekologi utama Yehliu Geopark.

Semua rahsia alam semula jadi yang unik dan terbentang di depan mata itu menjadikan pengalaman yang sukar penulis lupakan ketika mengikuti China Airlines Muslim Travel Agent and Media Fam Trip ke Taiwan, baru-baru ini.

Tangan pula tidak lekang merakam keindahannya. Nyata pemandangan ini sukar ditemui di tempat lain!

Sebelum ke situ, anda perlu bersedia dengan pemakaian baju sesuai iaitu tidak terlalu nipis kerana tiupan anginnya membuatkan anda tidak tahan sejuk. Sesekali, tiupan anginnya juga cukup kuat menerbangkan topi atau payung yang anda bawa.

Begitu juga dengan gaya kasut anda, pastikan ia sesuai kerana keseluruhan kawasan di Yehliu Geopark licin dan berbatu. Anda dinasihatkan untuk mematuhi peraturan pemandu pelancong sekiranya terdapat kemungkinan bahaya atau menyebabkan kerosakan kepada sumber semula jadinya.

Dapatkan pelbagai cenderahati Yehliu Geopark di laluan keluar sebagai buah tangan dan kenang-kenangan buat insan tersayang di Malaysia. Yehliu Geopark ini dibuka setiap hari dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang sepanjang tahun.

Kunjungan sebelah pagi atau petang nyata menjanjikan pengalaman senario keindahan berbeza. Bersedia dengan telefon bimbit atau kamera sebaik menuju ke Yehliu Geopark kerana sepanjang perjalanan anda disajikan dengan pemandangan semula jadi yang menakjubkan terutama selepas hujan atau awal pagi. Jadi, pastikan anda sentiasa bersedia merakamkan keindahan yang jarang ditemui ini!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 3:17 AM