KOLAM takungan utama yang memerangkap air dari semua kawasan.
KOLAM takungan utama yang memerangkap air dari semua kawasan.
Nurul Husna Mahmud


STRUKTUR bercirikan lestari menjadi fokus kepada Robert Hutchison Architecture dan firma JSa apabila mereka bentuk kediaman Rain Hervest Home di Temascaltepec, Mexico.

Ia bagaikan pembinaan sebuah kompleks kerana keluasan kawasan kediaman itu kira-kira 371.6 meter persegi menempatkan rumah, ruang studio dan rumah mandian.

Biar pun bukan kediaman tipikal, objektif utama Rain Harvest Home adalah menuai sumber air hujan di kawasan kediaman itu kemudian dialirkan ke kolam takungan dengan sistem parit penyusupan pintar (air di seluruh tapak ditangkap, dialirkan semula, ditapis dan digunakan).

Semua operasi kompleks terbabit menggunakan sumber tenaga mampan iaitu apabila menampilkan panel suria dan dikelilingi hutan semula jadi membuatkan ia lokasi ideal bagi dihuni pencinta alam.

Namun demikian, Rain Harvest Home juga sesuai dijadikan rekaan rujukan bagi rumah percutian atau pusat peranginan mewah kerana infrastruktur berdaya mampan itu mampu tangani cuaca ekstrim di kawasan pergunungan iaitu musim panas yang mengalami taburan hujan tinggi, sementara musim dinginnya pula sangat kering.

RUMAH mandi antara rekaan paling menonjol kerana dilengkapi sauna.
RUMAH mandi antara rekaan paling menonjol kerana dilengkapi sauna.

Itu berdasarkan landskap persekitaran Temascaltepec iaitu dalam kawasan pergunungan semula jadi yang memiliki peralihan cuaca ekstrim.

Tidak lupa menonjolkan kelebihan pemandangan sekitarnya, Rain Harvest Home turut direka menghadap ke gunung berapi Nevado de Toluca.

PANDANGAN dari atas Rain Harvest Home.
PANDANGAN dari atas Rain Harvest Home.

Pemandangan kabus merentasi kawasan lembah dan pergunungan itu ketika musim hujan antara fenomena boleh dinikmati.

Rekaan struktur itu sendiri juga menarik perhatian menerusi kayu berona hitam dan struktur dalam rumah membabitkan kombinasi kayu serta batu dapat dilihat dari luar.

Selain itu, antara yang menjadi tumpuan dalam rekaan Rain Harvest Home ialah rumah mandian apabila material batu gunung berapi yang sejuk menjadi perincian lantai, selain atrium membulat ke atas pada bahagian tengahnya, membolehkan hujan yang turun terus ke dalam kolam tadahan. Ia boleh dinikmati selepas mandi air panas atau sauna.

KAYU bernoda hitam antara struktur luar.
KAYU bernoda hitam antara struktur luar.

Kediaman utama yang disifatkan sebagai astaka berpusat pada alas konkrit yang dinaikkan di mana dua pertiga daripadanya adalah teres berbumbung dan kedudukan melilit.

Tingkap besar membolehkan pemandangan luar dilihat dari ruang dalaman. Bilik tidur di tingkat satu ditempatkan dalam struktur seperti periskop yang membanjiri bilik di bahagian bawah dengan cahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 6:30 AM