WARNA lampu putih sesuai untuk ruang tamu kerana ‘mood’ ceria. -  FOTO Google
WARNA lampu putih sesuai untuk ruang tamu kerana ‘mood’ ceria. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


Hampir setiap rumah dilengkapi lampu dan menjadi keperluan bagi menerangi segenap ruang.

Selain peranan memberi pencahayaan dalam ruang rumah, lampu juga memiliki fungsi lain termasuk menyuntik elemen estetika bagi gaya atau konsep hiasan tertentu yang ingin ditonjolkan pemilik mahu pereka hiasan dalaman.

Penggunaan cahaya tertentu pada ruang boleh memberi impak signifikan terhadap psikologi penghuni terutama suasana 'hangat' dan mesra diperlukan dalam sesebuah rumah.

Bagi memaksimumkan efek lampu pada ruang dalam rumah, ada pelbagai aspek yang diambil kira termasuk teknik pencahayaan, pemilihan bahan dan kualiti lampu dalam menempatkan di posisi tertentu.

Malah, seawal pembelian lampu, pemilik rumah perlu meneliti beberapa aspek atau ciri-ciri pada lampu bagi mengelak pembaziran apabila ia tidak digunakan atau tidak sesuai dengan ruang.

Berikut adalah tip boleh dijadikan rujukan bagi individu yang berhasrat untuk membeli lampu bagi rumah masing-masing:

1. Kesesuaian dengan konsep ruang

Apapun jenisnya, sama ada LED, lampu dinding, lampu meja, lampu tidur atau lampu belajar, fikirkan terlebih dahulu gaya atau konsep ruang terbabit.

Memilih rekaan lampu terlebih dahulu, kemudian barulah menentukan konsep yang ingin diketengahkan bagi tatahias terbabit boleh menjejaskan perancangan keseluruhan idea hiasan dalaman.

Sebagai contoh, jika anda merancang konsep minimalis, penggunaan lampu yang lebih ringkas sesuai dengan genrenya.

Pemilihan konsep lampu berlawanan, dikhuatiri akan menjejaskan pandangan mata atau visual keseluruhan ruang.

2. Rancang suasana berbeza untuk setiap ruang

Perlu diketahui bahawa dalam pencahayaan ada tiga kategori fungsi yang berbeza. Pertama pencahayaan berperanan memberi ketenangan kepada penghuni. Kedua membentuk persekitaran dan 'mood' yang berbeza selain ketiga menonjol elemen estetik.

Setiap ruang dalam rumah mempunyai tujuan dan fungsi tertentu. Begitu juga dalam penciptaan lampu, ada kualiti atau tahap pencahayaan berbeza untuk membantu 'menyampaikan' objektifnya.

Sebagai contoh lampu putih kebiruan, lebih menenangkan dan relaks. Ia sesuai digunakan untuk bilik tidur.

RUANG pintu masuk menggunakan warna kuning menyatakan simbolik mengalu-alukan atau diraikan. -  FOTO Google
RUANG pintu masuk menggunakan warna kuning menyatakan simbolik mengalu-alukan atau diraikan. - FOTO Google

3. Posisi lampu penting

Tip ini paling penting kerana ia boleh menentukan ruang dalaman tampak berseri atau suram. Jadi, tentukan titik-titik pencahayaan supaya ia dapat menerangi ruang dalam rumah.

Contohnya penggunaan lampu pada 'foyer' atau ruang pintu masuk, ia bukan sekadar memberi maksud laluan atau arah untuk tetamu masuk, tetapi turut memberi kesan sama ada 'meraikan' kehadiran tetamu atau sebaliknya.

4. Ukuran lampu

Untuk ruang kecil, saiz lampunya juga perlu sepadan. Elak guna lampu memiliki kadar intensiti cahaya terlalu tinggi kerana boleh mengundang rasa kurang selesa.

5. Pertimbangkan juga bajet beli dan selenggara lampu

Memiliki rekaan cantik dengan adanya beberapa lampu boleh memberi sorotan gaya mewah dan elegan.

Namun, dari sudut lain ia bermaksud perbelanjaan tambahan perlu ditanggung terutama penggunaan tenaga elektrik dan pembiayaan untuk ganti mentol.

Mulakan pembacaan dan kenal pasti model lampu yang tahan lama dan jimat tenaga.

LAMPU dengan potongan besi menunjukkan ciri-ciri industri. -  FOTO Google
LAMPU dengan potongan besi menunjukkan ciri-ciri industri. - FOTO Google

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 6:41 AM