MENARIK pintu gerbang ke kebun taman, Garden 8.
MENARIK pintu gerbang ke kebun taman, Garden 8.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Jiran sepakat membawa berkat.

Kerjasama lapan keluarga di Taman Perwira, Gombak Setia, Selangor untuk mengindahkan lorong belakang rumah mereka sememangnya menarik perhatian ramai.

Lorong belakang rumah mereka yang dahulunya terbiar dipenuhi semak dan tidak diberi perhatian kini berwajah baharu.

Kawasan kejiranan yang diberi nama Garden 8 itu diberi wajah baharu menjadi kebun taman yang bukan sahaja indah, malah turut memberi hasil kepada lapan keluarga terbabit.

Wakil penduduk, Aida Haniza Adnan, 53, berkata, inisiatif untuk mengindahkan kawasan belakang rumah itu adalah idea bersama suaminya, Iqmal Fajri Danial, 53, bagi mengisi masa terluang jiran tetangga sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Selepas mendapat persetujuan tujuh jiran, mereka berkongsi dana untuk mengindahkan kawasan itu termasuk membina laluan pejalan kaki serta menambah pelbagai dekorasi menarik.

Kata Aida Haniza, kerja mengindahkan kawasan lorong belakang itu, bagaimanapun hanya bermula tiga bulan lalu dan selepas kontraktor menyiapkan laluan pejalan kaki dan beberapa kerja utama, mereka lapan keluarga mula menghiaskannya.

TANAMAN herba turut ditanam.
TANAMAN herba turut ditanam.

"Kami menanam pelbagai jenis tanaman bunga, sayur-sayuran dan herba bagi memanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada.

"Selain itu, untuk menceriakan lagi kawasan kebun taman ini, kami turut memasang rumput karpet, membina pintu gerbang serta pelbagai dekorasi menarik lain seperti papan tanda penunjuk arah bandar utama dunia, stesen cuaca, orang-orangan sawah padi dan banyak lagi.

"Alhamdulillah, berkat kerjasama semua lapan keluarga, kebun taman itu kini menjadi kawasan yang indah dan tempat kegemaran seisi keluarga untuk bersantai," katanya.

Menurut Aida Haniza lagi, lebih menarik Garden 8 itu juga mempraktikkan gaya hidup hijau dengan menggunakan sistem pengumpulan air hujan (SPAH), mengitar semula sisa makanan rumah dan kebun untuk dijadikan baja kompos serta mengitar semula 3R (plastik, tin dan kertas).

Mereka juga menggunakan tenaga solar untuk lampu yang dipasang di kebun taman itu bagi menerangi kawasan berkenaan pada sebelah malam.

ANTARA dekorasi yang menyerikan lagi kawasan Garden 8.
ANTARA dekorasi yang menyerikan lagi kawasan Garden 8.

Kini Garden 8 itu bukan sahaja tempat mereka lapan keluarga mengukuhkan ukhuwah sesama jiran tetangga, malah menjadi tempat mengeluarkan peluh dengan aktiviti berkebun pada waktu lapang.

"Kebun taman ini juga memberi manfaat kepada kami apabila tanaman sayur-sayuran seperti petola, timun, tomato, asparagus, bendi, ulam raja, seria, bunga kantan, kacang panjang, terung, kobis, cili dan banyak lagi sudah mula berbuah.

"Tanaman herba seperti herba Inggeris (daun basil, rosemary), herba untuk perubatan dan herba untuk masakan juga sudah boleh dipetik.

"Berkat berbudi kepada tanah, hasil tanaman sayur-sayuran dan herba di kebun taman ini sedikit sebanyak mengurangkan belanja dapur kami semua," kata Aida Haniza yang suaminya turut meraih tempat kedua dalam Anugerah Kejiranan Hijau 2021 (Kategori Individu) sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia anjuran Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia), baru-baru ini.

ORANG-orang penyeri kawasan.
ORANG-orang penyeri kawasan.

Sementara itu, untuk tujuan keselamatan, Aida Haniza berkata, semua pengunjung yang mahu melawat kebun taman itu juga perlu mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki kawasan itu.

Katanya, mereka turut mengalu-alukan mana-mana pihak untuk berkunjung ke Garden 8 itu bagi mengambil ilham untuk membangunkan kebun kejiranan di kawasan masing-masing.

"Harapan kami semoga Garden 8 ini dapat memberi inspirasi pada sesiapa sahaja untuk membangunkan kebun kejiranan di kawasan rumah mereka.

"Semuanya bergantung kepada usaha, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

"Apapun, jika memiliki kawasan kejiranan yang indah sememangnya satu bonus kerana ia memberi keselesaan dalam kehidupan kita seharian," katanya.

AIDA (kiri) bersama jiran tetangganya yang terbabit dalam mengindahkan kawasan lorong belakang rumah mereka.
AIDA (kiri) bersama jiran tetangganya yang terbabit dalam mengindahkan kawasan lorong belakang rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 7:00 AM