REKAAN yang mengoptimumkan penggunaan bahan dan teknologi tempatan.
REKAAN yang mengoptimumkan penggunaan bahan dan teknologi tempatan.
Nurul Husna Mahmud


KOMBINASI konsep pembinaan lestari selain mengoptimumkan penggunaan sumber dan teknologi tempatan menjadikan Studio Sher Maker iaitu firma seni bina di Chiang Mai, Thailand ini antara bangunan pejabat yang memiliki rekaan unik.

Sher Maker diasaskan Patcharada Inplang dan Thongchai Chansamak itu membina studio arkitek mereka di satu plot kosong yang terletak di kawasan pinggir tasik berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai.

Studio ini dibahagikan kepada dua tingkat yang menempatkan kemudahan pejabat dan bengkel, termasuk kawasan untuk ujian bahan dan pembuatan perabot.

Mengambil kira elemen lestari apabila struktur ringkas bangunan itu menggunakan rangka kayu dan keluli lama, manakala lantai diperbuat daripada batu bata dari tanur (dapur yang besar seperti tempat mem≠bakar, mengeringkan atau memproses sesuatu termasuklah bata) berdekatan.

Bagi kemasan lantai, turut menggunakan kerikil pembinaan untuk membantu mengurangkan kos pembinaan studio terbabit yang hanya menelan belanja RM84,503.

Menurut wakil studio itu pihaknya memfokuskan formasi bangunan yang bergantung pada konteks teknologi dan bahan tempatan.

"Ia adalah sebuah bangunan yang dibina dengan banyak kekangan dan keterbatasan dalam memenuhi ruang lingkup bersumberkan teknologi serta bahan tempatan.

"Dalam pembinaan projek bangunan studio ini, kami bekerjasama

dengan pasukan pembina dan pakar kraf untuk membangunkan projek yang meneroka kemungkinan kelebihan dimiliki bahan serta teknologi tempatan.

"Kami juga berminat dengan reka bentuk atmosfera yang mempengaruhi bangunan dalam kedua-dua fizikal dan suasana," katanya.

RUANG santai dan juga halaman terbuka.
RUANG santai dan juga halaman terbuka.

Perincian mengenai struktur studio itu juga dihiasi dengan bumbung logam beralun yang memanjang hampir ke paras tanah. Kepingan logam itu ditebuk untuk bukaan kepada pokok sedia ada terus tumbuh melaluinya.

Rekaan bumbung itu juga menyembunyikan ruang dalam dan memfokuskan pemandangan ke arah halaman tengah, yang mengandungi kawasan santai dengan tempat duduk umum dan meja pingpong.

Ruang pejabat di sebelah tingkat bawah dipenuhi dengan kaca dan pintu yang terbuka untuk membolehkan angin sejuk sampai ke bahagian dalam. Di bahagian bertentangan halaman, cucur atap yang landai melindungi bengkel dan kawasan penyimpanan.

Studio Sher Maker turut tersenarai dalam pencalonan Anugerah Dezeen 2021 bagi kategori ruang kerja kecil.

Ia berentap dengan dua projek lain iaitu projek ubah suai bangsal kepada ruang bekerja membabitkan seorang artis di Devon, England dan bahagian dalam pejabat di Amsterdam yang menampilkan ruang seperti gua yang dikelilingi langsir potongan laser beralun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 9:45 AM