SUASANA penuh privasi dan tenang.
SUASANA penuh privasi dan tenang.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Bagaikan berada di taman rimba.

Deretan pepohon hijau yang merimbun di sekitar kediaman ini bukan sahaja meredupkan cuaca malah mendamaikan suasana.

Kamariah Juleh, 64, dan suami, Azmi Mat Ali, 65, menjadikan kediaman mereka yang terletak di Hulu Langat, Selangor itu, tampil dalam penataan ala taman rimba dan dipenuhi pepohon menghijau.

Kediaman yang penuh ketenangan dan privasi itu nyata sesuai untuk pasangan berkenaan melewati hari tua mereka.

Landskap di bahagian hadapan halaman rumah pasangan itu diserikan dengan hamparan segar rumput hijau dan pelbagai jenis tumbuhan.

Kata Kamariah, tidak hanya inginkan suasana redup, nyaman dan tenang sepanjang masa kerana landskap semula jadi itu juga bagaikan satu terapi untuk mereka seisi keluarga.

"Fungsi tumbuhan hijau itu bukan sahaja untuk mengindahkan suasana malah menjadi 'pagar' kepada kediaman ini.

"Alhamdulillah, jiran pun tiada masalah dan mereka juga tertarik dengan pepohon hijau itu," katanya kepada Harian Metro.

Kamariah berkata, dia mula menanam pokok hijau untuk mengindahkan lagi landskap sejak tahun 2002 iaitu ketika awal kediaman itu diubah suai.

Katanya, dia beruntung kerana suaminya, turut mempunyai minat yang sama iaitu suka menanam pokok dan mereka bergabung idea untuk mencantikkan lagi halaman rumah.

"Tanaman pokok hijau menjadi pilihan berbanding pokok bunga kerana ia lasak dan mudah dijaga.

"Suasana pepohon yang hijau juga menenangkan fikiran dan sesuai dengan tema ala rimba untuk kediaman kami," katanya.

ANTARA tanaman yang ditanam di halaman rumah Kamariah.
ANTARA tanaman yang ditanam di halaman rumah Kamariah.

Tambah pesara Jabatan Pertanian itu lagi, dia memilih pokok heliconia (pokok sepit udang), bunga kantan hiasan, pokok hutan dan keladi untuk menghiasi landskap halaman rumahnya.

Katanya, penjagaan pokok berkenaan juga mudah dan tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.

POKOK keladi hijau yang menyerikan lagi suasana.
POKOK keladi hijau yang menyerikan lagi suasana.

"Semua tanaman itu akan diberi baja organik sebulan sekali. Baja jenis itu atau baja kompos paling sesuai untuk tanaman hijau.

"Untuk siraman pula, hanya ketika cuaca panas sahaja ia perlu disiram, kalau musim hujan, tumbuhan itu tidak memerlukan siraman," katanya.

Dalam pada itu, di sebalik rimbunan hijau, kehadiran kolam ikan koi nyata menambahkan lagi keunikan kediaman berkenaan.

Ia sememangnya menjadi ruang tumpuan baik ahli keluarga mahupun tetamu yang bertandang.

KOLAM ikan penyeri halaman.
KOLAM ikan penyeri halaman.

Menurut Kamariah, suaminya membina kolam ikan di beranda rumah bagi merealisasikan impiannya.

"Idea untuk membina kolam ikan di tepi beranda itu adalah selepas saya melawat rumah seorang pensyarah universiti di Shah Alam.

"Suami membela ikan koi, tilapia dan lampam dalam kolam berkenaan.

"Kombinasi tanaman hijau dan kolam ikan ini nyata merealisasikan impian kami untuk mendapatkan kediaman impian berkonsepkan ala rimba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 7:00 AM