MERAH jenjarum menyerlahkan landskap santai dan semula jadi.
MERAH jenjarum menyerlahkan landskap santai dan semula jadi.
Hartini Mohd Nawi


SUDAH namanya orang seni, setiap sentuhan pasti menyerlahkan kreativiti tersendiri dengan aura keunikan luar biasa.

Itu antara gambaran betapa kreatifnya tiga sekawan ini yang tidak hanya saban hari tampil dengan produk seni rimba memukau, malah laman rumah mereka di Hulu Langat, Selangor juga dizahirkan seindah mungkin sesedap memandang.

Selesa dengan idea laman santai dan ringkas Fauzi Ab Majid, 49, Hisham Kamaruddin, 54, serta Mohd Zainol Ngajiman, 30, masing-masing mengakui teruja untuk menyerlahkan keindahan semula jadi kerana lebih dekat dengan alam.

"Mencipta laman indah dan sejuk mata memandang pada kami tidak hanya untuk penghuni berkeluarga semata-mata. Kami yang bujang pun ada idea tersendiri.

"Jangan kata bujang itu tiada masa untuk turun atau indahkan laman dengan gaya dan tanaman pilihan. Semua terpulang kepada kita. Apa yang kita mahukan, itu yang terhasil," akui Fauzi yang mesra disapa Benji.

Menurutnya, dia bersama Hisham yang mesra disapa Sam dan Zainol banyak menghabiskan masa di laman sambil menyiapkan kerja kreatif seni rimba yang membabitkan proses pengawetan serta pengeringan.

"Dari situ tercetusnya idea landskap santai dan ringkas, namun sarat dengan elemen abstrak kerana ia satu seni yang membawa perlambangan mengikut tafsiran masing-masing.

"Kadangkala, produk seni rimba kami yang masih dalam proses penghasilan menjadi sebahagian elemen abstrak di laman. Ia cukup menarik kerana seni landskap dan seni rimba itu saling berkait," kata Fauzi yang juga pengasas APA Atittude Planet Art (Apa Art).

Malah, dalam menzahirkan kreativiti, Fauzi, Hisham dan Mohd Zainol turut mengabungkan elemen hiasan lain termasuk kayu terpakai, ranting, tempurung, papan lama, seramik dan kaca.

DEKORATIF tanaman pada kayu hanyut yang digantung.
DEKORATIF tanaman pada kayu hanyut yang digantung.

"Apa saja yg mampu menyerlahkan kelainan tak semesti mahal. Tanaman berdaun hijau juga kami olah dengan menyelitkan pokok hiasan.

"Banyak yang kami taman seperti orkid, money plant, heliconia, keladi, lerek dan pelbagai pokok hutan. Pokok menumpang seperti pakis tanduk rusa dan pokok langsuir atau Asplenium nidus antara yang menyerikan latar di dinding luar rumah.

"Malah, pokok ulam-ulaman seperti pegaga dan ulam raja turut kami taman," kata Fauzi yang turut menjadikan keindahan laman rumahnya itu sebagai sumber inspirasi untuk menghasilkan dekoratif seni rimba lebih unik.

Pada masa sama, tiga sekawan itu sering meluangkan masa sebelah pagi untuk penjagaan tanaman khususnya siraman. Begitu juga dengan penyelenggaraan di sebelah petang.

INDAHKAN laman dengan gaya dan tanaman pilihan.
INDAHKAN laman dengan gaya dan tanaman pilihan.

Melihat kepada kesuburan dan kesegaran tanaman, kata Fauzi, air basuhan beras dan ikan adalah baja 'bajet' yang mereka gunakan.

"Nampak remeh, tapi itu yang kami lakukan. Mudah saja sambil masak bersihkan beras dan ikan, curi masa beberapa minit turun ke laman untuk 'bajakan' tanaman. Sekurang-kurangnya tanaman membesar tanpa bahan kimia dan sihat untuk dimakan.

"Bagi baja mingguan, kami olah sisa sayur-sayuran, bawang dan kulit telur. Hanya perlu kisar semua sisa berkenaan dan rendam bersama air serta biar beberapa hari.

"Kemudian ambik airnya siram pada pokok dan sukatan siraman tidak perlu risau kerana ia tidak membabitkan bahan kimia. Tambahan tanah pula dilakukan sebulan sekali bagi pokok gantung supaya tanaman itu tidak kehabisan bahan organik dari sumber tanah," kata Fauzi.

RUANG dinding diindahkan dengan reka letak tanaman secara kreatif.
RUANG dinding diindahkan dengan reka letak tanaman secara kreatif.

Mewakili dua lagi rakannya itu, Fauzi mengakui laman indah yang tercipta ada juga cabarannya.

"Laman yang menghijau dan sedap mata memandang bagi kami ini sebenarnya sama juga dengan landskap rumah orang lain. Ada situasinya tanaman diserang penyakit dan terbantut tumbesarannya.

"Paling tidak dapat dilupakan, banjir yang melanda pada penghujung tahun lalu menyebabkan semua tanaman di laman tenggelam dan semua aksesori hiasan hanyut dibawa arus. Namun, itu satu hikmah. Ia mengajar kami untuk tidak kenal erti putus asa," katanya yang turut menghasilkan baju dengan corak unik dan turut dijual dalam talian.

Berkongsi petua di laman, kata Fauzi, apa saja jenis tanaman asalkan tidak memudaratkan sesiapa sesuai menyerikan latar landskap. Lebih penting kena peka dan rajin luangkan masa.

GABUNGAN idea tiga sekawan iaitu Fauzi (berdiri), Mohd Zainol dan Hisham (kanan) untuk terjemahan landskap semula jadi.
GABUNGAN idea tiga sekawan iaitu Fauzi (berdiri), Mohd Zainol dan Hisham (kanan) untuk terjemahan landskap semula jadi.

"Pokok sama juga seperti manusia yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Apatah lagi ketika ini masih dalam penularan pandemik Covid-19, kita disarankan berada di rumah jika tiada keperluan di luar.

"Jadi, berbicara dengan landskap adalah yang terbaik. Selain menghilangkan kebosanan kita dapat berbudi kepada tanah. Siapa tahu dari sekadar hobi kita boleh jana pendapatan tanpa sedar. Ayuh cuba!," katanya.katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 7:00 AM